Harry Kane mendedahkan ‘team talk’ diberikan Thomas Tuchel ketika rehat separuh masa yang telah memberi inspirasi kepada England untuk meningkatkan prestasi dan menewaskan Croatia dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Selepas mengharungi babak pertama yang tegang apabila terikat, The Three Lions mempamerkan aksi dominan pada separuh masa kedua dengan bintang Bayern Munich itu mengakui mesej daripada pengurusnya menjadi pencetus kepada peningkatan mendadak tersebut.

Kane menyamai rekod jaringan Piala Dunia England milik Gary Lineker menerusi sepakan penalti dan tandukan hasil sepakan penjuru Declan Rice, namun kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan kedudukan terikat.

England tampil dengan rentak berbeza pada separuh masa kedua. Jude Bellingham kembali meletakkan England di depan sebelum Marcus Rashford yang masuk sebagai pemain gantian mengesahkan kemenangan 4-2 buat skuad The Three Lions.

Kane Dedah ‘Team Talk’ Tuchel

“Dia beritahu kami supaya lepaskan segala tekanan, bertenang dan terus bermain. Dia kata, apa yang paling buruk boleh berlaku? Tunjukkan kepada dunia siapa diri kita sebenarnya,” kata Kane menurut sumber laporan Goal.

“Kami turun pada separuh masa kedua dengan penuh intensiti dan mereka tidak mampu mengekang kami. Itulah tahap yang perlu kami tetapkan dalam setiap perlawanan.”

“Cara kami mengawal permainan selepas kembali mendahului sangat baik. Kami tidak benar-benar kelihatan berada dalam bahaya dan kemudian berjaya menambah gol menerusi serangan balas.

“Kami juga mempunyai beberapa peluang di mana kami sepatutnya boleh menjaringkan tiga atau empat gol lagi. Tahniah kepada semua pemain, ini perlawanan pertama kejohanan dan kami meraih keputusan yang hebat menentang pasukan yang cukup sukar.”

Sumber