Kang Khai Xing-Aaron Tai meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara Kejohanan Badminton Guwahati Masters 2025 yang berlangsung di Nalapara, India sebentar tadi.
Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut dilakarkan pasangan muda negara itu yang menyaksikan pada minggu lalu mereka mengungguli Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India yang berstatus Super 300 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) itu.
Baca Juga:
- Kang Khai Xing-Aaron Tai Muncul Juara Remaja Dunia 2024

- Ini Ranking Dunia Terkini Pemain Badminton Malaysia (Minggu Ke-49, 2 Disember 2025)

- Senarai Pemain Badminton Beraksi Dalam Sukan SEA 2025

Khai Xing dan Aaron nyata langsung tidak gentar berdepan dengan pasangan tuan rumah yang lebih berpengalaman serta merupakan pilihan utama kejohanan iaitu Pruthvi Krishnamurthy Roy Krishnaprasad Sai Pratheek.
Ia jelas dibuktikan dengan aksi kemas ditampilkan juara remaja dunia 2024 itu untuk menjerat lawan mereka dengan kemenangan 21-13.
Set kedua memperlihatkan tekanan lebih sengit diberikan Krishnamurthy-Pratheek, namun gandingan Malaysia itu lebih kental bertahan dan tenang untuk mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-18.
Dengan kejayaan menjuarai saingan Super 100 itu, Kang Khai Xing-Aaron Tai membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $8,690 (RM35,735.61).
Khai Xhing-Aaron Tai Buru Kejuaraan Hatrik
Mereka yang kini berada di ranking ke-46 dunia berpeluang untuk memastikan kejuaraan hatrik di India apabila bakal menyertai Odisha Masters 2025 yang berlangsung di Cuttack pada 9 Disember (Selasa) nanti.
Khai Xing-Aaron bakal bertemu pasangan Thailand, Pongsakorn Thongkham-Wongsathorn Thongkham di pusingan pertama.