Tajaan enam angka yang diterima oleh kelab Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC) menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Seorang broker Forex, Dato’ Royfaizal Razali Chong telah mengeluarkan kenyataan di media sosial mengenai tajaan sebanyak RM300,000 kepada KDA FC selepas melakukan pertemuan bersama pemilik kelab iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar.

Baca Juga:

Beliau berharap tajaan yang diberikan dapat membantu mengurangkan beban masalah tunggakan gaji pemain walaupun sedar jumlahnya tidak mencukupi.

“Apabila berbual dengan Tan Sri, orangnya sangat ramah dan komited berusaha mencari penaja memberi suntikan dana kepada kelab dan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku ketika ini.

“Secara peribadi, saya tahu RM300,000 tak mampu untuk menyelesaikan semua masalah yang ada, tetapi saya percaya ianya mampu untuk mengurangkan sedikit sambil berdoa ada lagi penaja yang tampil ke depan,” katanya menerusi laman sosial rasmi.

Namun begitu, ia turut menarik perhatian pakar perbankan Islam dan Muamalat, Ustaz Lariba yang mempersoalkan mengenai tajaan atau sumbangan diterima Kedah daripada broker Forex.

Beliau berharap Tan Sri Dr. Mohd Daud dapat memberi penjelasan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Harap sangat Tan Sri Dato Daud Bakar, pemilik Kedah FC beri penjelasan. Suburkan ilmu, jauhi kedangkalan,” katanya.

Seperti yang kita sedia maklum, hukum perdagangan pertukaran matawang asing (Trading Forex) adalah haram menurut Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Hukum menjalankan Trading Forex untuk tujuan bersedekah juga adalah haram menurut Mufti Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, peminat berpendapat ia adalah sumbangan peribadi daripada Royfaizal Razali dan tidak melibatkan syarikatnya iaitu GMI Markets.

Oleh itu, penjelasan daripada Tan Sri Dr. Mohd Daud yang cukup berpengalaman dalam bidang kewangan Islam serta syariah sangat diperlukan untuk menjawab persoalan daripada penyokong.