Kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde membuat pendedahan mengejutkan apabila terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer ke tempat latihan pasukan dari kediamannya.

Menurut laporan Berita Harian, beliau mengambil tindakan tersebut kerana kekurangan duit untuk mengisi minyak kereta susulan masalah tunggakan gaji.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Anda boleh lihat sendiri saya datang ke padang latihan hari ini dengan berjalan kaki kerana kekurangan duit untuk mengisi petrol kereta saya dan saya akan pulang ke rumah juga dengan dengan cara yang sama walaupun dalam keadaan cuaca hujan.

“Semua sudah tahu isu tunggakan gaji ini begitu perit untuk saya lalui sejak berbulan yang lalu dan kini saya masih berkorban untuk kembali hadir dan berlatih bersama pasukan bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam saingan Liga Super Jumaat ini untuk menentang Sri Pahang FC (SPFC) di laman sendiri.

“Sudah lama saya terpaksa berkorban untuk pasukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Apabila keadaan tunggakan gaji masih berlarutan, saya terpaksa hadapi kehidupan dalam serba kekurangan hinggalah apa yang kamu lihat hari ini,” kata Norde kepada Berita Harian.

Kedah ubi muda
‘Ubi Muda’ Kedah turun menjalani latihan ketika pemain senior boikot. FOTO: Facebook KDA FC

Sebelum ini, media melaporkan pemain utama pasukan itu telah bertindak memboikot sesi latihan kerana kegagalan pihak pengurusan menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

Disebabkan itu, pengendali pasukan, Nafuzi Zain mempertaruhkan khidmat pemain muda ketika aksi Liga Super bertemu KL City dan mengalami kekalahan 0-5 di tempat lawan.

Namun begitu, beberapa tonggak utama sudah mula turun menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sri Pahang pada hari jumaat ini.

“Kini kami kembali menjalani latihan bagi mempersiapkan perancangan untuk beraksi menentang SPFC di Stadium Darul Aman Jumaat ini atas dasar semangat untuk bangkit buat pasukan, dan pada masa yang sama sudah pasti kami juga amat mengharapkan pihak pengurusan dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji kami dengan secepat mungkin,” jelas Norde.