Pada hari ini kita melalui fasa hidup yang sangat pantas, lebih-lebih lagi selepas perkembangan internet dan media sosial yang meluas. Siapa lambat, pasti tertinggal.

Bagaimanapun, beberapa pekerja belia di Kedah berpuas hati dengan taraf hidup dan keseimbangan kerja-kehidupan (work-life balance) di negeri jelapang padi itu.

Baca Juga:

Menerusi temu bual New Straits Times bersama beberapa pekerja belia yang menetap di Kedah, mereka memilih menetap di negeri itu kerana kos sara hidup yang lebih rendah dan budaya kerja yang sihat.

Seorang doktor haiwan, Dr Hazman Mustaffer, 26, mendapati Kedah kurang tertekan berbanding negeri lain, serta budaya kerja yang saling menyokong satu-sama lain.

“Persekitaran kerja di sini adalah menggalakkan. Saya mudah mendapat cuti, pertumbuhan kerjaya dan gaji yang baik,” kata Hazman, yang bekerja di Jitra.

Hazman berkata walaupun dia ingin menikmati hujung minggu selama tiga hari, dia berpuas hati dengan jadualnya, yang membolehkannya meneruskan minatnya terhadap penjagaan kesihatan haiwan.

Sementara itu, Anas Ayub, 26, pengurus bengkel automobil, berkata beliau gembira dengan peluang kemajuan kerjaya dalam industri automotif negeri.

Beliau berkata tiada halangan yang ketara kepada pekerja belia untuk mendapatkan kenaikan pangkat.

“Alhamdulillah, saya telah dinaikkan pangkat secara adil berdasarkan pengalaman dan kelayakan saya.

“Saya telah menghadiri kursus untuk meningkatkan peluang saya untuk jawatan yang lebih tinggi,” kata Anas yang bekerja di Jitra.

Walaupun menghadapi risiko fizikal di tempat kerjanya, beliau menyatakan kepuasan hati dengan polisi tempat kerja yang mengutamakan keselamatan pekerja.

Manakala Sheshalini Ramesh, 28, seorang peguam pula mengakui cabaran profesionnya tetapi melahirkan rasa puas hati dengan fleksibiliti di tempat kerjanya.

“Persekitaran kerja yang mesra membolehkan pekerja bekerja tanpa tekanan. Inisiatif ini harus digalakkan dalam bidang lain,” tambahnya.

Ahmad Ikhtidar Ikhsan Jamili, 25, guru Bahasa Inggeris dari Langkawi berkata secara umumnya, gaji guru di Kedah adalah mencukupi.

“Kos sara hidup di sini rendah. Ia mungkin lebih baik, tetapi saya sangat gembira dengan pekerjaan saya,” kata Ahmad.

Dalam pada itu, Anas Fitri Ahmad, 26, seorang penganalisis kewangan pula menyokong idea ‘tiga hari cuti hujung minggu’.

Beliau percaya inisiatif itu boleh meningkatkan produktiviti dan menangani tekanan di tempat kerja.

Bagaimanapun, beliau menyokong pelaksanaannya dibuat secara berperingkat.

Individu terakhir yang diwawancara New Straits Times adalah seorang penjawat awam.

Mohammad Nasrun Faiz Mat Saad, 28, melahirkan rasa gembira dengan pengumuman kenaikan gaji lebih 13 peratus oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya gembira dengan gaji saya. Pengumuman itu adalah peningkatan semangat yang besar memandangkan peningkatan kos sara hidup.

“Kehidupan di Kedah, Insyaallah, selesa,” ujar beliau.