Dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Kuala Lumpur City (KL City) berpotensi dikenakan hukuman berat jika gagal menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, First Instance Body (FIB) telah memberikan tempoh masa terakhir kepada dua pasukan tersebut untuk menyelesaikan pembayaran mereka.
Baca Juga:
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
“KDA FC dan KL City diarahkan untuk membuat pembayaran pertama sebanyak 50 peratus pada atau sebelum 15 Mac 2024 dan penyelesaian penuh pada atau sebelum 29 Mac 2024.
“Kegagalan untuk membuat pembayaran seperti tarikh yang ditetapkan itu bakal mengakibatkan kedua-dua kelab Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain berserta denda atau berdepan hukuman penarikan Lesen Kebangsaan oleh FIB,” jelas Stuart.
Isu tunggakan gaji yang melibatkan dua pasukan itu menjadi bualan peminat bola sepak tempatan sejak bulan lalu.
Sebelum ini, seorang pemain mendedahkan masih terdapat tunggakan gaji sehingga 4 bulan yang belum diselesaikan walaupun saingan Liga Malaysia musim 2023 sudah menutup tirainya.
Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata jumlah tunggakan sebenar hanya untuk tempoh dua bulan, iaitu Oktober dan November pada saingan Liga Malaysia yang lepas susulan perubahan jadual perlawanan liga.
Bagaimanapun, Khalid optimis perkara itu dapat selesaikan sebelum tarikh dinyatakan dalam surat Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selepas pertemuan diadakan bersama pihak DBKL selaku penaja utama KL City.
Manakala, KDA FC dalam kenyataan rasmi menjelaskan telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut. Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April.