Khidmat bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa terus ditagih kelab Eropah selepas beliau diumumkan sebagai rekrut baharu Jimbee Cartagena.

Jimbee Cartagena nyata bukanlah calang-calang pasukan apabila baharu sahaja menjuarai saingan Liga Futsal Sepanyol selepas menewaskan ElPozo Murcia pada perlawanan akhir, minggu lalu.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 26 tahun itu disahkan oleh Jimbee Cartagena dalam satu video pengenalan pemain di laman sosial rasmi kelab tersebut.

Difahamkan, Osamanmusa dan Jimbee Cartagena telah memeterai kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun tambahan.

Ia bakal menjadi tahun ketiga berturut-turut buat Osamanmusa beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol selepas dua musim menyarung jersi Cordoba Patrimonio de la Humanidad.

Aksi cemerlang ditampilkan Osamanmusa telah mencuri tumpuan selepas beliau berjaya menjaringkan 13 gol dalam kempen liga 2023/24.

Namun, ia masih belum mampu untuk membawa Cordoba ke peringkat lapan pasukan terbaik setelah menamatkan kempen di kedudukan ke-11.

Muhammad Osamanmusa berkelana ke Sepanyol selepas cemerlang di Thailand dengan berbekalkan pencapaian hebat dinikmati seperti dua kali muncul juara Liga Futsal Thailand musim 2020 dan 2021/22 bersama Chonburi Bluewave serta menjulang Thai FA Futsal Cup 2017/18 ketika menyarung jersi Bangkok BTS.

Bersama skuad kebangsaan Thailand, beliau telah mengecapi banyak kejayaan di pentas Asia Tenggara dan pastinya kemaraan ke perlawanan akhir Kejohanan Futsal AFC 2024 tempoh hari menjadi antara pencapaian hebat dalam kariernya.