Futsal Indonesia terus mengorak langkah hebat di pentas antarabangsa selepas juara saingan Liga Futsal Pro (PFL) 2025/26 mendapat slot untuk beraksi dalam Piala Futsal Antara Benua 2026 (Intercontinental Futsal Cup 2026).
Selain kelab Indonesia, kejohanan yang bakal berlangsung di Pato Branco, Brazil pada 14 hingga 19 November itu nanti turut menampilkan kelab ternama seperti Pato Futsal (Brazil), Palma Futsal (Sepanyol), Alula SC (Arab Saudi) serta juara UEFA Futsal Champions League dan juara Copa Libertadores de Futsal musim ini.
Palma Futsal hadir dengan reputasi hebat apabila merupakan juara bertahan dan mengungguli saingan tersebut bagi tiga edisi berturut-turut (2003, 2004 dan 2205).
Perkembangan terkini mengenai perkara yang pastinya menggembirakan peminat setia futsal negara jiran tersebut disahkan sumber laporan CNN Indonesia.
Pencapaian Besar Buat Futsal Indonesia
Pengarah Utama Pertandingan Futsal Indonesia (KFI), Rorian Pratyaksa melihat perkembangan itu merupakan pencapaian besar buat transformasi futsal di sana.
“Penyertaan juara PFL 2025/26 dalam Piala Futsal Antara Benua 2026 bukanlah satu kebetulan, tetapi lebih kepada hasil langkah strategik dan lobi antarabangsa oleh KFI untuk membuka laluan langsung untuk kelab kami ke pentas dunia.”
“Kami di KFI komited untuk memastikan bahawa gelaran kejuaraan PFL bukan sekadar puncak keunggulan negara, tetapi juga pasport ke pertandingan elit global.”
“Ini adalah era baharu yang akan meningkatkan nilai komersial, profesionalisme pengurusan kelab, dan kualiti teknikal keseluruhan futsal Indonesia,” ujar Rorian.