Bekas penjaring terbanyak saingan Liga Super, Ifedayo Olusegun dilaporkan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini dimana ada beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ifedayo adalah dari Lembah Klang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ada tiga kelab yang berpusat di Lembah Klang yang beraksi dalam saingan Liga Super musim ini antaranya Selangor, Kuala Lumpur City dan PDRM FC.

Dua kelab yang berkemungkinan besar menandatangani Ifedayo adalah KL City dan PDRM memandangkan Selangor sudahpun mempunyai penyerang import iaitu Ronnie Fernandez.

KL City kehilangan dua penyerang utama mereka iaitu Romel Morales yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Borneo dengan memyertai Kuching City.

Bagi PDRM pula, ketika ini mereka mempunyai dua penyerang import dalam pasukan iaitu Bruno Suzuki dan Uche Agba.

Musim lalu, Ifedayo Olusegun beraksi bersama Kedah Darul Aman dimana beliau masuk pada jendela perpindahan kedua liga dan berjaya menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga Super.

Sebelumnya, pemain berusia 33 tahun itu pernah muncul sebagai penjaring terbanyak pada musim 2020 dan 2021 ketika beraksi bersama Selangor.

Krisis kewangan yang melanda pasukan Kedah memaksa beberapa pemain utama untuk meninggalkan pasukan sebelum saingan musim 2024/25 bermula.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, kelab itu telah diberi tempoh sehingga 5 Mac 2024 untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL bersidang pada 6 Mac 2024.