Kelab yang diwakili oleh Ronaldo, Al Nassr mempamerkan aksi memukau apabila berpesta gol membelasah kelab Lionel Messi, Inter Miami 6-0 pada aksi Piala Musim Riyadh awal pagi tadi.

Bagaimanapun, hasrat peminat untuk melihat dua bintang itu berentap di atas padang tidak jadi kenyataan apabila Ronaldo terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan otot peha manakala Messi berada di bangku simpanan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pesta gol Al Nassr bermula seawal minit ke 3 apabila Otavio merembat masuk gol pertama dalam kawasan kotak penalti sebelum Talisca menolak masuk gol kedua pada minit ke 10 selepas menerima hantaran cantik daripada Al Aliwa.

Inter Miami yang turut diperkuatkan oleh bekas penyerang Liverpool dan Barcelona, Luis Suarez buntu menembusi benteng pertahanan Al Nassr walaupun memperolehi beberapa peluang terhidang.

Pada minit ke 12, giliran bekas pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte pula mencetak nama sebagai penjaring apabila rembatan jarak jauhnya menerjah gawang Inter Miami untuk gol ketiga. Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Al Nassr terus garang menambah gol keempat menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Talisca.

Situasi itu memberi tekanan kepada benteng pertahanan Inter Miami yang terpaksa bekerja keras mengekang kemaraan jentera serangan Al Nassr.

Pada minit ke 68, gawang gol Inter Miami sekali lagi bocor selepas penyerang gantian, Mohammed Maran menanduk masuk gol kelima yang mudah menewaskan D. Callender.

Talisca juga mencipta hatrik apabila menjaringkan gol keenam menerusi larian solo yang tidak mampu dihalang oleh barisan pertahanan Inter Miami.

Saat yang ditunggu oleh penyokong akhirnya tiba apabila Lionel Messi dimasukkan pada minit ke 83 bagi menggantikan tempat Leonardo Campana namun ianya sudah terlambat untuk membantu Inter Miami bangkit daripada ketinggalan 6 gol.

Pemenang Piala Musim Riyadh 2024 akan ditentukan menerusi perlawanan antara Al Nassr menentang Al Hilal minggu depan.