Bagi menghadapi cabaran dalam isu keterjaminan makanan rakyat di Kelantan, negeri itu akan mengeluarkan beras tempatan dengan menggunakan nama Agro Darul Naim, petik Harakah Daily.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras tahun hadapan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Untuk tahun 2024 kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk membangunkan kilang padi dan beras yang akan dibina di Meranti, Pasir Mas.

“Insya-Allah, kita akan mengeluarkan beras tempatan sendiri yang akan menggunakan nama Beras Agro Darul Naim,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) pada sidang Dun hari ini.

Tuan Saripudin juga berkata, antara langkah diambil kerajaan negeri menubuh Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Kelantan dipengerusikan Menteri Besar dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditubuh pada 11 Mei 2022.

Selain itu katanya, tahun ini kerajaan negeri memberi insentif secara bersasar dan selektif kepada golongan sasar dengan memperuntukan sebanyak RM3.66 juta melibatkan 357 projek pertanian.

Memetik laporan itu lagi, jabatan Pertanian melaksanakan aplikasi teknologi di lapangan melalui kaedah ‘participatory observation’ di mana teknologi baru dari syarikat pengeluar diaplikasi terus ke ladang bagi tujuan peningkatan hasil, kawalan musuh tanaman dan keselamatan makanan.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian meningkatkan proses pemindahan ilmu, teknologi dan teknikal kepada masyarakat menerusi program dan bengkel latihan seperti Agri Bio Class, Seminar Semarak Organik Al-Falah dan Diskusi Organik.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut membangunkan aplikasi teknologi di lapangan melalui kaedah penyertaan pemerhatian serta menjayakan Kempen Tanam Nyor Al-Falah ke-13 melibatkan 1,300 penerima.