Indonesia meraih kemenangan sulung dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas berjaya menundukkan Arab Saudi 2-0 pada aksi keenam kumpulan C yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan pertama dicatatkan Indonesia dalam sejarah pertembungan melibatkan kedua-dua pasukan.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Jepun Mudah Atasi Indonesia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: China Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Indonesia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Maarten Paes Cemerlang Pastikan Indonesia Ikat Australia
Pemain muda yang berkelana di England, Marselino Ferdinan jelas mencuri tumpuan apabila beliau menjaringkan kedua-dua gol tersebut di setiap babak.
Tewas pada dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, Indonesia kelihatan cukup berbahaya dengan serangan balas pantas walaupun penguasaan besar permainan dipegang Arab Saudi.
Semangat berkobar-kobar itu cukup terserlah apabila skuad kendalian Shin Tae-yong itu tidak menunggu lama untuk menguji gawang pasukan pelawat.
Kuisan Marselino selepas menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukannya hanya singgah di tiang gol ketika beberapa saat selepas aksi bermula.
Tujuh minit kemudian, Rafael Struick pula mendapat peluang dimana beliau sudah melepasi kawalan pertahanan dan hanya berhadapan penjaga gol, Ahmed Al-Kassar. Namun, percubaan leret penyerang berusia 21 tahun itu tersasar di sebelah kiri pintu gol Arab Suadi.
Arab Saudi yang tenang menguasai permainan kelihatan agak sukar untuk memecah masuk kawasan penalti Indonesia yang dikepalai Justin Hubner, Jay Idzes dan Rizky Ridho.
Stadium Gelora Bung Karno bergegak-gempita pada minit ke-32 apabila percubaan susulan Marselino dalam kawasan penalti hanya mampu dipandang Al-Kassar bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Calvin Verdonk hampir melebarkan kedudukan pada masa kecederaan tetapi percubaannya selepas beliau meluru pantas ke dalam kawasan penalti untuk menyambar hantaran jauh Sandy Walsh sekadar terkena jaring luar.
Memasuki babak kedua, Arab Saudi terus menekan Indonesia dengan corak permainan hantaran pendek tetapi jentera serangan mereka masih ketandusan idea.
Sebaliknya, Indonesia mengambil kesempatan dengan baik selepas Marselino melakukan sungkitan mudah untuk menewaskan Al-Kassar ketika pertahanan Arab Saudi kelam-kabut di hadapan pintu gol untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-57.
Tersentak dengan ketinggalan dua gol itu, pemain Arab Saudi meningkatkan intensiti permainan dengan merencana beberapa gerakan memburu jaringan.
Namun, usaha mereka masih tidak mampu membuahkan hasil untuk mengesahkan tiga mata penting buat Indonesia walaupun Justin Hubner dilayangkan kad merah pada minit ke-89.
Dengan kemenangan tersebut, Indonesia melonjak ke tangga ketiga dengan enam mata diraih manakala Arab Saudi yang turut mengumpul enam mata berada di tangga keempat.