Hasrat Singapura untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata di tempat sendiri tidak kesampaian apabila dibelasah Korea Selatan 7-0 pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional.

Dalam perlawanan ini, Korea Selatan menurunkan barisan terkuat terdiri daripada beberapa pemain terkemuka seperti Son Heung Min (Tottenham Hotspur), Hwang Hee Chan (Wolves) dan Lee Kang In (PSG).

Baca Juga:

Pesta gol Korea Selatan bermula seawal minit ke 9 apabila Lee Kang In merembat masuk gol pertama selepas mengelecek pemain pertahanan Singapura dalam kawasan kotak penalti.

Pada minit ke 20, giliran Joo Min-kyu pula mencetak nama sebagai penjaring selepas menanduk masuk gol kedua hasil hantaran cantik Kim Jin Soo.

Ini merupakan jaringan antarabangsa pertama beliau pada usia 34 tahun. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Korea Selatan terus mengandakan serangan dan langsung terus memberi tekanan kepada Singapura.

Pada minit ke 53, Stadium Nasional bergema dengan sorakan penyokong apabila bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min melepaskan rembatan leret yang menghasilkan gol ketiga untuk Korea Selatan.

Singapura yang dibimbing oleh jurulatih baharu dari Jepun, Tsutomu Ogura cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Korea Selatan.

Seminit kemudian, Lee Kang In menambah gol keempat ketika benteng pertahanan Singapura gagal mengekang kemaraan jentera serangan lawan.

Kelemahan benteng Singapura turut dimanfaatkan oleh Son Heung Min yang menjaringkan satu lagi gol pada minit ke 56 untuk menjadikan kedudukan berubah kepada 5-0.

Para pemain Singapura tidak berdaya lagi untuk memberi saingan dan mereka seolah-olah sudah berputus asa sehingga membenarkan Korea Selatan menambah dua lagi gol.

Pada minit ke 79, Bae Jun Ho menjaringkan gol keenam sebelum pemain kelab EPL, Wolves iaitu Hwang Hee Chan menambah gol ketujuh pada minit ke 81.

Keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Singapura kekal di tangga tercorot dalam kumpulan C dan gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.