Korea Selatan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menundukkan pencabar terdekat, Iraq 3-2 pada aksi keempat yang berlangsung di Yongin Mireu Stadium sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dilakarkan oleh skuad kendalian Hong Myung-Bo itu dimana sebelum ini mereka menewaskan Oman (3-1) dan Jordan (2-0).

Baca Juga:

Turun tanpa bintang ternama, Son Heung-min yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan pada mulanya kelihatan sedikit memberikan masalah buat Korea Selatan.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan, Korea Selatan hanya mampu membolosi gawang pasukan lawan pada minit ke-41 menerusi Oh Se-hun.

Gol tersebut berpunca daripada keadaan kelam-kabut dihadapan pintu gol yang disudahkan dengan tenang penyerang berusia 25 tahun itu untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Memasuki babak kedua, Iraq kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi percubaan akrobatik Aymen Hussein setelah menerima hantaran lintang Amjed Attwan.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, Korea Selatan tampil dengan lebih kemas untuk kembali mendapatkan jaringan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-74 selepas pemain gantian, Oh Hyu-gyu menolak masuk bola susulan ‘cutback’ dilakukan oleh Lee Jae-sung.

Lapan minit kemudian, Jae-sung pula meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau melakukan tandukan terbang ketika menerima umpanan lintang daripada Lee Myeong-jae untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Iraq cuba bangkit dengan menghasilkan gol kedua pada masa kecederaan menerusi tandukan Ibrfahim Bayesh tetapi ia tidak mampu untuk menghalang kemenangan penting buat Korea Selatan.

Dengan kemenangan ini, Korea Selatan berada di tangga teratas dengan 10 mata, tiga mata meninggalkan Iraq. Kedudukan Iraq berkemungkinan  akan berubah sekiranya Jordan menundukkan Oman.