Malaysia mempamerkan kebangkitan dramatik dalam aksi sulung  kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 pada aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-97 dunia itu, anak buah Kim Pan-gon mempamerkan aksi lebih baik dengan menguasai permainan.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Penguasaan permainan itu diserikan lagi dengan jaringan pembukaan seawal minit ketujuh oleh Dion Cools yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Arif Aiman Md Hanapi.

Jaringan itu jelas menyemarakkan api perjuangan barisan pemain negara yang diketuai Matthew Davies untuk menambah jaringan.

Namun, peluang dimiliki Malaysia selepas itu menerusi percubaan Arif Aiman dalam kawasan penalti pada minit ke-23 diselamatkan penjaga gol, Erzhan Tokotaev di sudut sempit.

Kealpaan pada lewat babak pertama jelas menjadi masalah buat skuad negara apabila gawang yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi dibolosi pada minit ke-42.

Berpunca daripada dua percubaan awal yang gagal diselamatkan daripada kawasan bahaya memberikan ruang buat Kayrat Zhyrgalbek Uulu untuk menyamakan kembali kedudukan.

Bertambah bersemangat dengan gol tersebut, Republik Kyrgyz berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan berselang dua minit kemudian menerusi percubaan leret dalam kawasan penalti oleh Ernist Batyrkanov gagal diselamatkan Syihan.

Faisal Halim hampir memberikan jaringan buat kem negara tetapi percubaan leretnya daripada luar kawasan penalti pada minit ke-51 digagalkan Tokotaev.

Ketika pemain negara berusaha keras mendapatkan jaringan, sekali lagi kealpaan di dalam kawasan penalti dihukum lawan dan kali ini giliran pemain gantian, Kai Merk menyudahkan peluang terhidang menjadikan kedudukan 3-1 memihak lawan pada minit ke-57.

Pertukaran dilakukan Pan-gon dengan memasukkan Akhyar Rashid, Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Daniel Ting selepas itu nyata membuahkan hasil dengan jentera serangan skuad Malaysia kelihatan lebih bernafsu untuk mengancam gawang Republik Kyrgyz .

Hantaran lintang Arif Aiman yang cuba dihalang oleh Christian Brauzman menyebabkan pertahanan tengah itu tertampan bola ke gawangya sendiri pada minit ke-72.

Gol tersebut nyata meningkatkan lagi moral pemain negara untuk terus menghadirkan bahaya buat lawan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-77.

Berpunca daripada situasi sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman membolehkan Cools melonjak tinggi lalu memadamkan terus kelebihan dimiliki pasukan pelawat.

Faisal Halim muncul wira buat skuad negara ketika aksi memasuki minit ke-93 selepas rembatannya dalam kawasan penalti setelah menerima lorongan Arif Aiman menghadiahkan kemenangan dramatik buat Malaysia.