Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas tunduk kepada Oman 0-2 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat sebentar tadi.

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-80 dunia, barisan pemain negara kelihatan berdepan kesukaran untuk beraksi dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama.

Baca Juga:

Skuad kendalian Jaroslav Silhavy itu lebih menguasai permainan dan mencipta beberapa percubaan berbahaya ke kubu Malaysia yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Ia jelas dibuktikan apabila tuan rumah mendapat peluang pada minit ke-10 tetapi Dominic Tan cemerlang menyelamatkan bola dari kawasan bahaya.

Berselang empat minit kemudian, giliran Omar Al-Maliki pula menguji gawang skuad negara tetapi tandukannya dari jarak dekat dinafikan Syihan.

Oman terlepas peluang terbaik ketika aksi memasuki minit ke-22 selepas Issam Al-Subhi berjaya melepasi Syihan ketika Dominic gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, tetapi tolakannya dari sebelah kanan pintu gol sekadar singgah di tepi jaring gawang.

Percubaan tepat pertama dimiliki anak buah Kim Pan-gon hadir pada minit ke-31 menerusi rembatan padu jarak jauh oleh Stuart Wilkins, namun penjaga gol, Ibrahim Al-Mukhaini lebih bersedia untuk menepis percubaan tersebut.

Seminit kemudian, Oman pula memberikan ancaman hasil rembatan rendah oleh Salaah Al-Yahyaei dalam kawasan penalti digagalkan dengan baik Syihan.

Jaringan yang dinantikan penyokong tuan rumah menjelma pada minit ke-59 apabila rembatan Issam dalam kawasan penalti tidak mampu diselamatkan penjaga gol berusia 28 tahun itu.

Issam mendapat peluang dalam kawasan penalti selepas kesemua pertahanan skuad negara hanya melihat bola hantaran Ali Al-Busaidi sampai ke kaki penyerang tersebut

Tersentak dengan jaringan itu, Corbin-Ong melakukan tandukan cantik ketika situasi sepakan penjuru diambil Faisal Halim, tetapi bola sekadar singgah di palang gol pada minit ke-61.

Jaringan Romel Morales pula terpaksa dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Muhsen Al-Ghassani akhirnya mematikan api perjuangan skuad negara apabila kuisannya setelah mendapat hantaran lintang Al-Busaidi menghadiahkan gol kedua buat Oman pada minit ke-88.

Dengan kekalahan pertama yang dialami, Malaysia turun ke tangga ketiga tetapi terikat enam mata bersama Oman dan Republik Krygyz manakala Chinese Taipei di tempat keempat tanpa sebarang mata.