Hajat untuk melihat Malaysia bangkit daripada kekalahan minggu lalu tidak kesampaian selepas tewas 0-2 di tangan Oman pada aksi keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dengan kekalahan kedua berturut-turut yang dialami, skuad negara kini menghuni tangga ketiga dengan enam mata manakala Oman ditangga kedua hasil sembilan mata diperolehi.

Baca Juga:

Sementara itu, Krygyztan yang menang 5-1 ke atas Chinese Taipei menggungguli kumpulan D juga dengan sembilan mata tetapi berkelebihan perbezaan jaringan berbanding Oman.

Skuad negara bagaimanapun memulakan aksi dengan garang selepas Arif Aiman Hanapi mendapat peluang setelah beliau merampas bola daripada kaki Mohammed Al-Musalami untuk meluru pantas ke pintu gol Oman seawal minit pertama.

Namun penjaga gol, Ibrahim Al-Mukhaini pantas menyelamatkan bola yang sudah melepasi celah kakinya untuk menggagalkan usaha awal tersebut.

Lima minit kemudian, Arif Aiman melakukan hantaran lintang yang cukup baik dihadapan pintu gol Oman tetapi Romel MoralesĀ  gagal menghidu gerakan bola untuk melakukan tandukan.

Aksi selepas itu memperlihatkan Oman lebih banyak mengancam kubu skuad negara yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dengan serangan-serangan pantas.

Antara peluang terbaik dimiliki anak buah Jaroslav Silhavy itu ialah menerusi percubaan jarak dekat diledakkan Omar Al-Malki yang diselamatkan Syihan pada minit ke-18.

Syihan turut bertindak pantas pada minit ke-34 dalam menutup ruang ketika Muhsen Al Ghasanni gagal dikekang Dion Cools yang sudah pun terjatuh dalam kawasan penalti.

Oman terlepas peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan selepas percubaan susulan ketika Muhsen hanya berhadapan dengan Syihan pada minit ke-42 melewati palang gol.

Muhsen sekali lagi hampa berselang dua minit kemudian selepas tandukan lambung dilakukannya dalam kawasan penalti sempat ditepis keluar Syihan.

Ketika pemain kedua-dua pasukan sudah hanya menanti masa untuk ke bilik persalinan, Oman dihadiahkan sepakan penalti ekoran kekasaran dilakukan Syihan terhadap Muhsen.

Omar yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menamatkan aksi babak pertama dengan kelebihan 1-0 buat pasukan pelawat.

Memasuki minit ke-52, Oman berpeluang untuk menambah jaringan kedua tetapi percubaan leret Salaah Al-Yahyaei sekadar singgah di tiang gol dan Cools mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Beberapa pertukaran dilakukan Kim Pan-gon dalam usaha memburu jaringan penyamaan dengan memasukkan Endrick Dos Santos, Brendan Gan, Paulo Josue dan Akhyar Rashid masih gagal untuk membuahkan hasil.

Sebaliknya, Oman yang hadir sekali sekala dengan serangan balas pantas dilihat lebih memberikan ancaman ke kubu Malaysia dan berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-94 hasil gol Mohammad Al Ghafri.