Australia jelas sukar digugat apabila meraih kemenangan 5-1 ke atas Indonesia pada aksi ketujuh Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Allianz Stadium, Sydney sebentar tadi.
Bukan permulaan baik buat Patrick Kluivert dimana ini merupakan perlawanan sulungnya membimbing skuad kebangsaan Indonesia.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Maarten Paes Cemerlang Pastikan Indonesia Ikat Australia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Australia Calarkan Rekod Kemenangan Bersih Jepun
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Dua Gol Marselino Ferdinan Pastikan Kejayaan Indonesia Tewaskan Arab Saudi
Sebelum ini kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 10 September 2024.

Segalanya tampak cukup meyakinkan buat Indonesia yang lebih menguasai permainan hingga berjaya mendapatkan dua peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan.
Namun, tandukan ketua pasukan, Jay Idzes dalam kawasan penalti pada minit kelima ketika situasi sepakan percuma ditepis keluar penjaga gol, Matthew Ryan.
Tiga minit kemudian, penyokong Indonesia hampa selepas sepakan penalti yang diambil Kevin Diks sekadar singgah di tiang gol.
Tersentak dengan dua ancaman bahaya tersebut, barisan pemain tuan rumah memperkemaskan aksi untuk menghadirkan jaringan diharapkan.

Australia Sukar Digugat
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Martin Boyle tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Sepakan penalti itu diberikan selepas pengadil perlawanan membuat rujukan Video Assistant Referee (VAR) berikutan kekasaran Nathan Tjoe-A-On terhadap Lewis Miller.
Jaringan pembukaan itu jelas meningkatkan moral anak buah Tony Popovic yang hanya memerlukan dua minit selepas itu untuk menambah jaringan kedua.
Gol itu berpunca daripada umpanan cantik daripada Aziz Behich terus mencari Nishan Velupillay yang meluru pantas meninggalkan pertahanan Indonesia.
Nishan yang hanya berhadapan dengan penjaga gol, Maarten Paes dengan tenang menolak masuk bola untuk terus menceriakan ribuan penyokong tuan rumah.
Indonesia cuba bangkit merapatkan defisit jaringan dengan kembali menguasai permainan, tetapi barisan pemain Australia tidak memberikan ruang buat skuad kendalian Patrick Kluivert itu untuk mendapatkan jaringan.
Sebaliknya, Jackson Irvine menambah jaringan ketiga pada minit ke-34 hasil gerakan pendek cantik bagi mengukuhkan lagi kedudukan buat skuad Socceroos.
Memasuki babak kedua, Indonesia bermula dengan baik dengan tekanan dilakukan hingga mendapat peluang pada minit ke-53, namun rembatan Ole Romeny dalam kawasan penalti dinafikan Ryan.

Skrip sama berlaku apabila Australia menyerap tekanan dengan baik dan kemudiannya berjaya menambah jaringan pada minit ke-60.
Gol keempat itu disudahkan Miller dengan tandukan yang membolosi gawang Indonesia selepas beliau mendapat umpanan Craig Goodwin ketika sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Indonesia yang tidak berputus asa berupaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-78 menerusi jaringan Romeny setelah beliau menghukum kealpaan Jason Geria dalam kawasan penalti.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi semangat barisan pemain Australia yang hampir menambah gol pada minit ke-83.
Namun, tolakan leret pemain gantian, Eliano Reijnders betul-betul dihadapan pintu gol Australia diselamatkan Ryan menggunakan kakinya.
Tekanan itu bagaimanapun tidak langsung menghalang Australia untuk terus mendapatkan jaringan dan Irvine menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi tandukan pada minit ke-90.
Kemenangan penting dilakarkan meletakkan Australia kini ditangga kedua dengan 10 mata manakala Indonesia pula kini ditangga kelima dengan enam mata.
Jepun masih lagi kekal sebagai pasukan tangga teratas dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi kumpulan C ini.