Persiapan skuad kebangsaan Thailand menghadapi kempen Piala Asia 2023 diselubungi kontroversi apabila apabila ketua jurulatih yang disayangi pemain serta penyokong, Mano Polking dipecat pada 24 November 2023.

Keputusan tersebut diambil Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) selepas skuad dikenali sebagai Changsuek (gajah perang) itu menumpaskan Singapura 3-1 pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kekosongan ditinggalkan Polking itu diisi pakar taktikal dari Jepun, Masatada Ishii yang cukup sinonim dengan kancah bola sepak Thailand terutamanya ketika beliau membimbing Buriram United pada 2021 hingga 2023.

Dengan kehadiran Masatada, Thailand kemudiannya terpaksa menelan hakikat kehilangan khidmat trio berpengaruh dalam pasukan iaitu Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda dan Thitiphan Puangchan yang mengalami kecederaan.

Malah, Ishii turut gagal memujuk pemain sayap, Ekanit Panya yang lebih memilih untuk terus kekal di Jepun bersama Urawa Red Diamonds berbanding menggalas tanggungjawab negara di Piala Asia.

Persiapan mereka juga dilihat cukup berbeza dengan negara lain kerana pemain Thailand dibenarkan kembali ke pasukan masing-masing untuk beraksi dalam saingan liga selepas perlawanan persahabatan bertemu Jepun di Tokyo pada 1 Januari.

Malah, Thailand juga tiba di Qatar agak lewat iaitu pada 11 Januari berbanding negara-negara lain yang lebih awal menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

Kemelut bukan halangan buat Thailand

Bagaimanapun, semua itu langsung tidak merentap semangat juang barisan pemain Thailand untuk mempamerkan kemampuan hebat dimiliki.

Bermula dengan kemenangan 2-0 ke atas Kyrgyzstan hasil dua jaringan Supachai Chaided, Thailand mempamerkan semangat juang tinggi pada dua aksi berikutnya.

Berdepan Oman yang berada di kedudukan ke-74 ranking dunia, Thailand berjaya mengimbangi penguasaan bola dimiliki lawan tersebut untuk mengikat perlawanan tanpa jaringan.

Aksi bertemu lawan lebih hebat, Arab Saudi malam tadi juga memperlihatkan kekentalan serta disiplin tinggi dijelmakan oleh Thailand.

Meskipun Ishii merehatkan kesemua pemain utamanya, barisan pemain pilihan keduanya melakukan tugasan dengan baik untuk sekali lagi tidak dibolosi sekali gus menamatkan peringkat kumpulan tanpa sebarang kekalahan.

Penjaga gol kedua, Saranon Anuin menjadi watak yang mencuri tumpuan apabila bertindak cemerlang dalam menggagalkan sepakan penalti Abdullah Radif pada minit ke-12.

Selain itu, beliau turut tenang menafikan enam percubaan dilancarkan Arab Saudi sepanjang 90 minit perlawanan.

Meskipun hanya dua jaringan dapat dihasilkan selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan, kemampuan barisan pertahanan dalam menyerap tekanan serta ketangkasan Patiwat Khammai dan Saranon di gawang mampu menjadi tunjang kekuatan menjelang aksi pusingan 16.

Skuad Changsuek akan berentap dengan Uzbekistan pada aksi pusingan 16 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Januari ini di Al Janoub Stadium.