Thailand bermula dengan langkah kanan dalam saingan Piala Asia 2023 selepas berjaya menundukkan Kyrgyzstan 2-0 pada aksi pembukaan kumpulan F yang berlangsung di Abdullah bin Khalifa Stadium, sebentar tadi.

Kejayaan menundukkan lawan di ranking ke-98 dunia itu menyaksikan Thailand menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara (ASEAN) yang meraih kemenangan pada perlawanan pertama.

Baca Juga:

Hal ini kerana tiga lagi wakil ASEAN iaitu Vietnam, Indonesia dan Malaysia tewas kepada lawan masing-masing.

Supachai Chaided muncul wira buat Thailand apabila penyerang berusia 25 tahun itu menjaringkan kedua-dua gol tersebut.

Beliau hampir meletakkan skuad kendalian Masatada Ishii dihadapan pada minit ke-14 tetapi jaringannya dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke-22, Suphanat Mueanta pula mendapat peluang terbaik untuk menjaringkan gol, namun percubaannya selepas melepasi kawalan pertahanan lawan sekadar singgah di palang gol.

Kekecewaan itu ditebus Supachai berselang empat minit kemudian selepas beliau tidak mensia-siakan peluang ketika percubaan awal Bordin Phala diselamatkan penjaga gol Kyrgyzstan, Erzhan Tokotaev bagi meletakkan Thailand dihadapan.

Penyerang Buriram United itu kemudiannya menambah jaringan kedua pada minit ke-48 apabila Supachai melakukan percubaan dalam kawasan penalti yang sekali lagi menghampakan Tokotaev.

Permainan selepas itu menyaksikan Kyrgyzstan turut mendapat peluang bagi menjelmakan jaringan tetapi usaha anak buah Stefan Tarkovic tersebut masih belum mampu untuk mengubah kedudukan.

Sementara satu lagi aksi dalam kumpulan F bakal menemukan juara tiga kali, Arab Saudi dan Oman pada jam 1.30 pagi nanti.