Kembara Jordan di Piala Dunia FIFA 2026 sudah berakhir selepas mereka tewas 3-1 kepada Argentina dalam aksi terakhir Kumpulan J tengah hari tadi.

Walaupun menamatkan saingan dengan tiga kekalahan, mereka masih boleh berbangga kerana berjaya menjaringkan gol dalam setiap tiga perlawanan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh pasukan debut di pentas dunia.

Kempen Sulung Penuh Pengalaman Buat Jordan

“Kami memberikan segala-galanya untuk menjaringkan gol menentang Argentina,” kata pemain tengah, Noor Al Rawabdeh menurut kenyataannya di laman sesawang FIFA.

“Mungkin sudah banyak perlawanan dan tiada siapa berjaya menjaringkan gol ke atas mereka, jadi bagi kami, itu adalah sesuatu yang boleh dijadikan kelebihan dan kami perlu membinanya.”

“Kami patut berbangga dengan diri sendiri. Mereka adalah juara dunia pada akhirnya. Kami melakukan segala yang termampu. Ia adalah perlawanan besar, kejohanan besar untuk kami.”

“Kami mengambil pengalaman ini dan kami ingin memohon maaf kepada rakyat kami. Kami sudah memberikan segala-galanya dan ‘Inshallah’, lain kali akan menjadi lebih baik.”

Al Rawabdeh yakin pengalaman ini akan memberi manfaat besar kepada Jordan menjelang kitaran seterusnya untuk Piala Dunia 2030.

“Bagi kami, kami belajar dari segi fizikal bahawa tahap permainan ini sangat tinggi, sangat laju,”  katanya.

“Dan juga, butiran kecil sangat memberi perbezaan dalam perlawanan seperti ini. Kami melakukan banyak kesilapan kecil, terlalu banyak sepakan percuma diberikan, dan itu perlu kami perbaiki.”

“Tetapi secara keseluruhan, saya rasa kami berpuas hati, rakyat kami gembira dengan pencapaian ini kerana ini kali pertama kami bermain di Piala Dunia dan saya rasa kami sudah memberikan segala-galanya,” tambah beliau lagi.

Sumber