Pemain tengah Selangor, Noor Al-Rawabdeh, melupakan harapannya untuk mewakili Jordan di Piala Dunia 2026 buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada usaha membantu pasukan pasukannya mencapai kejayaan dalam Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26.
The Red Giants akan berdepan kelab Vietnam, Nam Dịnh FC, dalam dua perlawanan separuh akhir pada 6 dan 13 Mei ini.
Sehubungan dengan itu, Al-Rawabdeh menjadi komponen penting dalam skuad kendalian Kim Pan-gon yang berusaha untuk mara ke final kejohanan kelab utama Asia Tenggara tersebut buat kali pertama.
“Bermain di Piala Dunia amat bermakna bagi saya,” kata pemain antarabangsa Jordan itu yang telah membuat 56 penampilan bersama negaranya.
“Ia adalah impian setiap pemain untuk mewakili negara mereka di pentas tersebut. Tetapi buat masa ini, fokus saya adalah untuk memberikan prestasi terbaik setiap hari, membantu Selangor dalam Piala Shopee dan melakukan segala yang saya mampu untuk membanggakan kelab dan negara saya.”
Noor Al-Rawabdeh Mahu Bantu Selangor
Pemain berusia 29 tahun itu telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak utama untuk kelab dan negara, termasuk beraksi bersama Jordan yang mara ke final Piala Asia 2023 sebelum layak buat pertama kali ke Piala Dunia melalui kelayakan benua tahun lalu.
Tanpa sebarang masalah, Al-Rawabdeh hampir pasti akan disenaraikan dalam skuad kendalian Jamal Sellami untuk ke Amerika Syarikat bagi aksi peringkat kumpulan menentang juara bertahan Argentina, Algeria dan Austria.
Namun sebelum itu, bekas pemain Al-Faisaly SC tersebut bertekad untuk meneruskan prestasi Selangor dalam peringkat kumpulan Piala Shopee, yang menyaksikan kelab itu menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A di belakang juara bertahan Buriram United FC berdasarkan perbezaan jaringan selepas mencatat dua kemenangan dan tiga keputusan seri.
Al-Rawabdeh beraksi sebanyak empat kali dalam peringkat kumpulan, di mana pengalaman dan semangat juangnya menjadi faktor penting buat Selangor.
“Saya rasa perkara paling besar yang saya pelajari daripada perjalanan saya ialah tiada yang mustahil,” katanya.
“Walaupun anda bukan pasukan terkuat atau pilihan, anda masih boleh mencapai apa sahaja jika anda percaya kepada diri sendiri, rakan sepasukan dan bekerjasama.”
“Itulah mentaliti yang saya bawa ke mana sahaja saya pergi. Bagi saya, seorang pemain tengah perlu kekal tenang, memahami permainan dan membantu mengawal rentak perlawanan.”
“Anda perlu membuat keputusan yang baik, menyokong rakan sepasukan dan sentiasa fokus. Itulah yang saya cuba sumbangkan kepada pasukan dalam setiap perlawanan.”
“Fokus saya sentiasa untuk memperbaiki diri dan membantu pasukan mencapai kejayaan. Bersama Selangor, saya mahu kami bersaing di tahap tertinggi dan memenangi trofi. Kelab ini dan penyokong kami layak berada di puncak, dan saya percaya kami boleh mencapai sesuatu yang istimewa bersama.”
Selangor akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan pertama separuh akhir menentang Nam Định pada 6 Mei, sebelum aksi timbal balik di Vietnam pada 13 Mei.
Perlawanan akhir Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 akan berlangsung pada 20 dan 27 Mei.