Nama Akram Hassan Afif Yahya Afif kian melonjak selepas beliau menjadi nadi penting kejayaan Qatar muncul juara Piala Asia 2023 hasil lapan jaringan disumbangkannya.

Kejayaan yang turut mengekalkan kejuaraan dimenangi skuad The Maroons pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malah, kelincahan Akram sentiasa menjadi ancaman terbesar buat barisan pertahanan lawan seperti yang kita dapat saksikan sepanjang kejohanan tersebut.

Selain bergelar penjaring terbanyak, pemain berusia 27 tahun iktu turut dinobatkan selaku Pemain Terbaik Piala Asia 2023 yang nyata melonjakkan lagi ‘saham’ beliau.

Merupakan darah keturunan Arab Yaman

Meskipun lahir di Doha pada 18 November 1996, Akram merupakan anak kepada pasangan suami isteri, Hassan Afif dan Fayza yang berasal dari Yaman.

Hassan Afif bagaimanapun lahir di Moshi, Tanzania dan kemudiannya menetap di Somalia dan beraksi dalam saingan liga utama di sana dengan menyarung jersi Horseed FC.

Bapa kepada Akram Afif itu juga kemudiannya membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Somalia.

Pada tahun 1986, Hassan berhijrah ke Qatar untuk beraksi bersama Al Ittihad (kini dikenali sebagai Al Gharafa), Tidak sampai semusim beraksi, beliau dilantik untuk membimbing kelab tersebut.

Selain kelab tersebut, Hassan turut pernah mengendalikan dua lagi pasukan di Qatar iaitu Al Ittifaq (2001 hingga 2003) dan Al-Markhiya (2005 hingga 2008).

Lama menetap di negara tersebut menyaksikan Hassan telah ‘dinaturalisasikan’ sebagai rakyat Qatar.

Pengaruh bapa dan abang jadi sumber inspirasi

Melihat bapa membimbing pasukan serta Ali Afif (abang Akram) beraksi bersama Al Sadd di zaman kanak-kanaknya membuatkan Akram turut menyimpan cita-cita besar untuk menjadi pemain bola sepak.

Malah, menyaksikan dedikasi bapa dan abangnya dalam bola sepak jelas menguatkan lagi semangat juang Akram Afif untuk mengikuti jejak langkah mereka.

Sehubungan dengan itu, Akram telah dihantar ke Akademi Al-Markhiya selama dua tahun (2004 hingga 2006) dan ke Al Sadd (2006 hingga 2009).

Soccer Football – AFC Asian Cup – Final – Jordan v Qatar – Lusail Stadium, Lusail, Qatar – February 10, 2024 Qatar’s Akram Afif celebrates scoring their first goal REUTERS/Thaier Al-Sudani

Aspire Academy rintis laluan lebih cerah

Selepas lima tahun bersama kelab tempatan, Akram Afif kemudiannya diasuh di Aspire Academy. Satu projek yang dilihat cukup membuahkan hasil buat perkembangan bola sepak Qatar pada ketika ini.

Pada usia belasan tahun, bakat Akram dikembangkan lagi dengan pendedahan di Eropah selepas beliau dihantar ke Sevilla pada tahun 2012. Selain itu, beliau turut pernah bersama skuad remaja Villarreal.

Sehubungan dengan itu, bakat luar biasa dimilikinya yang seperti diketahui sebagai seorang pemain lincah serta mempunyai naluri pemusnah cukup hebat dalam merobek gawang lawan telah menarik kelab Eropah.

Berkelana ke Eropah tingkatkan kualiti

Pada Januari 2015, Akram telah menandatangani kontrak bersama kelab Challenger Pro League (Divisyen 2 Belgium) pada ketika itu, KAS Eupen.

Musim pertama (2014/15) bersama kelab tersebut, Akram beraksi sembilan perlawanan liga yang menyaksikan beliau menjaringkan dua gol.

Beliau menikmati musim kedua yang lebih bersinar apabila membuat 16 penampilan kempen liga serta berjaya menjaringkan enam gol.

Akram kemudiannya menyertai Villarreal tetapi terus dipinjamkan ke Sporting Gijon pada musim 2016/17 yang sekali gus menjadikan dirinya sebagai pemain Qatar pertama menyarung jersi kelab saingan LaLiga.

Intensiti tinggi saingan LaLiga memperlihatkan sedikit kesukaran buat Akram Afif yang beraksi 11 perlawanan dimana dua daripadanya dalam kempen Copa del Rey.

Keadaan itu menyebabkan Akram dipinjamkan selama semusim ke kelab lamanya, KAS Eupen yang sudah dinaikkan pangkat ke saingan Jupiler Pro League. Beliau melakukan 15 penampilan liga dan berjaya menjaringkan satu gol.

Kembali ke Qatar dengan cukup hebat

Dengan kemampuan hebat ditampilkan oleh beliau, kepulangan ke Qatar bukanlah perkara yang memberikan kesukaran bagi pemain lincah ini.

Menyertai Al-Sadd pada pertengahan musim 2017/18, beliau membuat 20 penampilan (12 dalam Liga Juara-Juara Asia, tujuh ketika Stars League dan satu perlawanan Piala Qatar).

Daripada 20 penampilan tersebut, Akram Afif menjaringkan enam gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan.

2018/19 pastinya merupakan musim terbaik buat beliau dimana daripada 22 penampilan liga, Akram meledakkan 26 gol serta mencipta 13 bantuan jaringan.

Tahun demi tahun, beliau terus memainkan peranan penting dalam menjadi antara nadi kekuatan kelab tersebut.

Pada usia yang hanya akan mencecah 28 tahun pada November nanti, lebih banyak kejayaan mampu dilakarkan oleh Akram.

Kejayaan yang pastinya diidamkan oleh beliau untuk dijulang selepas ini ialah Liga Juara-Juara Asia (ACL) dimana Al-Sadd kali terakhir muncul juara kejohanan tersebut pada 2011.