Datuk Misbun Sidek, nama yang tidak asing dalam dunia badminton Malaysia akhirnya membuat keputusan untuk mencurahkan bakti dan pengalaman luasnya ke peringkat antarabangsa.
Hal ini kerana Misbun yang berusia 65 tahun dikhabarkan bakal membimbing sebuah kelab badminton profesional ternama di India.
Keputusan ini sekali gus menandakan satu langkah besar dalam karier legenda badminton negara itu yang sebelum ini dengan sepenuh jiwanya menumpukan perhatian kepada pembangunan pemain muda di Malaysia.
Meskipun masih tiada pengumuman rasmi mengenai pasukan mana bakal dibimbing oleh Misbun, beberapa laporan media tempatan sudah mengeluarkan berita tersebut.
Malah, Misbun serta Kelab Badminton Nusa Mahsuri sendiri tanpa berselindung mendedahkan kepastian bahawa pemergian ke India itu adalah cerita benar.
Misi Misbun Sidek Di India
“Saya tidak boleh mendedahkan kelab mana buat masa ini, tetapi saya akan ke India. Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai jurulatih di luar Malaysia,” ujar Misbun menurut sumber laporan The Star.
“India telah berterusan meminta saya menjadi jurulatih mereka. Malah, beberapa negara lain juga telah menjemput saya untuk menyertai mereka.”
“Kelab ini telah menawan hati saya kerana saya suka susunan dan perancangan yang telah kita buat. Saya juga telah mendapatkan kebenaran daripada kelab saya, Nusa Mahsuri dan menerima restu daripada presidennya, Datuk Seri Jalani Sidek.”
“Mereka sudah mempunyai pemain-pemain teratas dan mantap. Saya tidak ke sana untuk mengubah mereka atau budaya pasukan, tetapi seperti pokok bonsai, saya mahu ia kelihatan lebih sempurna.”
“Akan ada sedikit ‘trim’ dan penyesuaian. Saya hanya akan mencurahkan ilmu dan pengalaman bertahun-tahun saya,” tambah Datuk Misbun Sidek lagi.