Legenda badminton negara, Dato’ Seri Lee Chong Wei percaya bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek mampu untuk memberikan impak besar di India.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Misbun Sidek bakal menikmati fasa baharu dalam kariernya apabila menerima tawaran kelab badminton profesional di negara Asia Selatan itu.

Selepas beberapa kali dipujuk, pengendali berpengalaman berusia 65 tahun itu akhirnya memilih untuk menerima tawaran tersebut.

“Kelab ini telah menawan hati saya kerana saya suka susunan dan perancangan yang telah kita buat. Saya juga telah mendapatkan kebenaran daripada kelab saya, Nusa Mahsuri dan menerima restu daripada presidennya, Datuk Seri Jalani Sidek.”

“Mereka sudah mempunyai pemain-pemain teratas dan mantap. Saya tidak ke sana untuk mengubah mereka atau budaya pasukan, tetapi seperti pokok bonsai, saya mahu ia kelihatan lebih sempurna.”

Lee Chong Wei
Kredit Foto: TENGKU BAHAR / AFP

Lee Chong Wei Yakin Misbun Mampu Hadirkan Impak Besar

Sehubungan dengan itu, Lee Chong Wei melihat kepakaran dimiliki Misbun mampu untuk menghadirkan sesuatu lebih besar buat kelab tersebut.

“Misbun mempunyai kebolehan semula jadi untuk memberi inspirasi kepada pemain muda serta menaikkan semangat pemain senior dan saya percaya beliau akan melakukan perkara yang sama di sana.”

“Mereka pasti akan mendapat manfaat daripadanya kerana beliau tidak pernah berkira apabila tiba soal beliau memberikan yang terbaik,” ujar Chong Wei menurut sumber laporan The Star.

“Saya terkejut apabila Misbun membuat keputusan untuk melatih di luar negara. Hampir sepanjang hidupnya beliau telah menumpukan sepenuh pengabdian kepada sukan ini di Malaysia.”

“Sesiapa sahaja yang berjaya mendapatkan khidmatnya pasti benar-benar telah menambat hatinya kerana bukan mudah untuk membuatkan beliau meninggalkan Malaysia.”

“Misbun pastinya sedang mencari satu perubahan,” tambah beliau lagi.

Sumber