Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang meneliti semula cadangan untuk mengembalikan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih berdegil tidak mahu melunaskan pinjaman.
Walaupun perkara ini masih dalam peringkat pertimbangan, isu berkenaan nampaknya kembali hangat dibincangkan oleh orang ramai.

Kenapa isu ini timbul semula?
Sebenarnya, PTPTN sejak dulu lagi berdepan masalah kutipan balik pinjaman. Ramai graduan yang dapat pinjaman tidak menunaikan tanggungjawab membayar semula. Akibatnya, aliran dana terganggu dan generasi baru pelajar mungkin susah nak dapat manfaat sama.
Kalau dulu, memang pernah ada sekatan perjalanan untuk peminjam tegar. Tapi ia dihentikan beberapa tahun lepas. Kini, kerajaan nampaknya serius nak hidupkan semula polisi tersebut untuk pastikan peminjam lebih berdisiplin.
Bagi mendapat pendedahan lanjut, kami telah menemebual Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan a/l Pandian selaku Pensyarah Universiti di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
“Pinjaman tu amanah, bayar balik untuk bantu orang lain” – Prof Siva

Dalam satu sesi pandangan, Prof Siva menekankan bahawa peminjam PTPTN sebenarnya memegang satu amanah besar.
Bila dah habis belajar dan mula bekerja, mereka perlu segera tunaikan pembayaran balik sebab dana itu bukan saja untuk diri mereka, tapi juga untuk pelajar lain yang akan datang.
Beliau turut menjelaskan, “Supaya aliran orang itu boleh digunapakai untuk pelajar lain.” Dalam erti kata lain, kalau semua bayar balik dengan konsisten, dana PTPTN akan terus berputar dan lebih ramai anak muda boleh masuk universiti tanpa risau pasal kos.
Sekatan perjalanan mampu tingkatkan kesedaran
Menurut Prof Siva lagi, langkah sekatan perjalanan ni sebenarnya satu bentuk peringatan keras kepada peminjam yang sengaja culas.
Bila ada tekanan macam ni, peminjam lebih cenderung untuk bayar sebab tak nak kebebasan mereka terjejas. Tambahan pula, PTPTN disarankan untuk terus buat penjelasan berkala, supaya masyarakat faham bahawa bayaran balik ni bukan sekadar beban namun satu bentuk pelaburan semula untuk masa depan pendidikan negara.
Nasihat kepada graduan: Jangan tangguh, bayar ikut kemampuan
Prof Siva sempat memberi beberapa nasihat untuk graduan yang masih bertangguh:
- Jangan elak tanggungjawab – Peminjam perlu tandatangan dokumen dan ikut terma perjanjian. Elakkan sikap ‘buat tak tahu’ bila tiba masa bayar.
- Bayar secara konsisten – Walaupun tak mampu bayar penuh, buat bayaran berkala. Ia bukan saja bagus untuk nama baik kewangan, tapi juga membantu ringankan beban jangka panjang.
- Boleh berunding dengan PTPTN – Kalau ada masalah kewangan, PTPTN sediakan ruang untuk berunding. Peminjam boleh minta penstrukturan semula pinjaman, asalkan ada usaha dan keikhlasan nak bayar.
Tanggungjawab semua peminjam

Membayar hutang PTPTN bukan sekadar kewajipan individu, tapi juga tanggungjawab sosial. Bila kita lunaskan hutang, secara tak langsung kita membantu memastikan peluang pendidikan tinggi untuk orang lain tidak terhalang.
Sekatan perjalanan mungkin nampak keras, tapi ia dianggap langkah berkesan untuk menyedarkan peminjam tegar bahawa hutang pendidikan bukan boleh dibuat main-main.
Buat masa ini, pihak kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad. Tapi kalau betul langkah ini dilaksanakan, ia mungkin jadi turning point untuk tingkatkan kesedaran tentang pentingnya membayar balik pinjaman PTPTN.
Buat anda yang mempunyai hutang PTPTN, jangan tunggu sampai kena sekatan baru nak risau. Banyak inisiatif yang dilakukan oleh PTPTN seperti #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu untuk membuka peluang kepada semua peminjam yang mempunyai masalah untuk tampil berunding.
Bayarlah ikut kemampuan, sebab akhirnya ia bukan saja untuk kebaikan diri sendiri, tapi juga untuk masa depan pelajar-pelajar lain.