Pihak Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi menangani masalah penjualan semula tiket konsert secara haram, petik Free Malaysia Today.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kementerian berkenaan sedang meneliti isu tersebut, termasuk kemungkinan kerajaan memperkenalkan rang undang-undang bagi membanteras kegiatan itu, lapor Bernama.

Baca Juga:

“Kementerian Komunikasi juga telah berunding dengan penganjur acara dan syarikat penjualan tiket untuk mencari penyelesaian yang paling sesuai bagi isu ini,” katanya pada sidang media sempena Festival Geran Digital PKS Madani 2025 peringkat Johor di Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, masalah ini paling kerap berlaku pada konsert antarabangsa berprofil tinggi, seperti konsert penyanyi rap K-pop, G-Dragon pada bulan Julai lalu.

Oleh kerana permintaan yang melambung tinggi, telah menyebabkan ‘scalper’ menjual semula tiket pada harga jauh lebih mahal.

Jumaat lepas, Teo mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membincangkan isu penjualan semula tiket konsert secara haram yang menjejaskan industri hiburan negara.

Beliau berkata, sesi itu mengumpulkan input dan cadangan daripada agensi yang terlibat secara langsung dalam pemantauan dan penguatkuasaan penjualan tiket konsert, di samping meneliti contoh daripada negara-negara yang mempunyai undang-undang ‘anti-scalping‘.

Pada bulan lalu peminat kumpulan rock Amerika, My Chemical Romance melahirkan rasa tidak puas hati selepas gagal mendapatkan tiket konsert yang dijadualkan berlangsung pada 30 April tahun depan di Kuala Lumpur.

Terdapat scalper yang dikesan di media sosial menjual semula tiket konsert pada harga melampau, termasuk satu kes di mana tiket kategori Zon C bernilai RM499 dijual pada harga RM6,000.