Pada minggu lalu, tular kisah seorang pengumpul tempatan yang mahu menjual koleksi kad pokemon yang luar biasa apabila bernilai cecah jutaan ringgit.
Koleksi kad terbabit menjaminkan pulangan lumayan kerana berisi bundle dan kad edisi terhad di dalam dunia yang menjadi dambaan peminat di seluruh dunia.
Pada awalnya, tawaran ini dibuka sama ada pemberani yang sanggup membelinya pada harga RM1.8 juta atau pun ditukarkan dengan kereta mewah Porsche Carerra S bersama wang RM1 juta.
Ramai merasakan ia sesuatu yang mustahil untuk mendapatkan pembeli dengan harga sedemikian, namun rezeki sudah tertulis apabila pemuda itu memberi kemas kini yang mengatakan koleksinya sudah terjual dengan harga yang dipinta.

“Koleksi Kad Pokémon saya secara rasmi TELAH TERJUAL dengan harga RM1,870,000!”Dari bilik kecil di Shah Alam sehinggalah mencipta sejarah dalam Dunia Pokémon.
Ini lebih daripada sekadar jualan, ini adalah kisah mengenai keghairahan, usaha keras (grind), dan legasi. Daripada minat mendalam kepada legasi, ini menandakan salah satu momen terbesar dalam perjalanan hidup saya.
Setiap kad, setiap kotak, setiap malam tanpa tidur—semuanya berbaloi. Ini bukanlah pengakhiran, ia hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat,” kongsinya.

Apabila disoal adakah orang luar atau tempatan yang membelinya, pemuda itu berkongsi memang warga lokal sendiri yang membeli koleksi kad hobinya itu dengan harga yang ditetapkan.
Pemuda ini turut memberi anggaran sudah membelanjakan sekitar $420,000 Dolar Amerika Syarikat (USD) bersamaan dengan kira-kira RM1,769,670 Ringgit Malaysia (MYR).
Menjengah ke ruangan komentar, ramai netizen mengucapkan tahniah ke atas kejayaan menjual koleksi kad pokemon mega itu kerana memang jarang sekali dapat melihat transaksi wang yang besar di dalam arena hobi ini.
Tidak kurang juga, ada yang menggelarkan lelaki dari Shah Alam itu sebagai Raja Scalper kerana berjaya memiliki sejumlah bundle atau kad edisi terhad lalu dijual pada harga yang luar biasa.
Ada yang melihat ini sebagai satu pencapaian dan bukti kukuh yang boleh membuat hater terdiam apabila sering dituduh sebagai membuang duit kerana sanggup berbelanja untuk ‘sehelai kad yang dianggap tiada nilai bagi orang awam’.