Sejak beberapa hari lalu isu Perodua Bezza rosak didakwa disebabkan terdapat bendasing iaitu gula di dalam enjin kereta menjadi bualan rakyat Malaysia.

Menerusi kemas kini terbaharu pemilik kereta tersebut, Nagakanni menyatakan Perodua akhirnya bersetuju untuk membeli semula kereta beliau dengan harga penuh.

Baca Juga:

Solusi yang diberikan Perodua itu membolehkan Nagakanni tidak perlu lagi membayar bulan-bulan untuk kereta lama (kereta yang rosak), dan semua bayaran sebelum ini juga akan dipulangkan semula.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama ATAU untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam 7 hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini,” ujar Nagakanni.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai kerana membantunya mendapatkan hak yang sepatutnya sebagai pengguna.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ini.

“Tapi saya belajar sesuatu — walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya — akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” jelas beliau.

Pada 2 Januari lalu, Nagakanni berkongsi kekecewaan dan kebuntuannya di Facebook apabila kereta Perodua Bezza yang baru dipakai 8 jam telah rosak secara tiba-tiba pada Oktober 2023.

Setelah dihantar untuk pemeriksaan, pada bulan November wakil Perodua menghubunginya hasil siasatan awal mendapati enjin Bezza wanita itu rosak disebabkan ada benda asing seperti gula.

Bermula dari siasatan awal itulah Nagakanni menghadapi kesukaran untuk mendapatkan ganti rugi sebuah kereta baharu.