Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan arahan baharu berkenaan pengambilan suntikan dos penggalak COVID-19 ketiga dalam masa terdekat, susulan peningkatan kes jangkitan sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bagi meningkatkan perlindungan golongan berkenaan ke tahap optimum daripada jangkitan COVID-19, petik Buletin TV3.

Baca Juga:

“KKM akan keluarkan arahan tertentu mengenai dos penggalak ketiga terutama bagi mereka daripada kumpulan rentan yang mempunyai komorbiditi, berusia (warga emas) kerana mereka terdedah kepada risiko untuk kemudaratan yang lebih daripada (individu) lain,” katanya.

Tambahnya, sekiranya arahan itu berkuat kuasa kelak, bekalan vaksin sedia ada masih mencukupi dan belum tamat tarikh luput yang berupaya melindungi penerima daripada strain varian termasuk varian baharu.

Dr Dzulkefly berkata Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai situasi terkini COVID-19 dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Menurutnya pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan antaranya cuaca, tidak memakai pelitup muka dan pergerakan yang bebas lebih-lebih lagi menjelang musim cuti sekolah.

Beliau juga menjelaskan pihaknya akan mempertimbang semua aspek meliputi pelan tindakan sedia ada berkaitan gejala COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes di negara jiran.

“Andai keperluan itu timbul, kita akan segera melaksanakan langkah pencegahan dan mitigasi yang lebih sesuai. Kita tidak mahu jadi terlalu alami, pada masa sama tidak mahu meringankan dan tidak mahu mengambil mudah perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 12,757 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) bagi tempoh 3 hingga 9 Disember lalu.

Jumlah itu meningkat hampir sekali ganda berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Dr Muhammad berkata, secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada dengan majoriti kes jangkitan hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Sumber