Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu dalang kepada kea simbah asid terhadap pemain sayap Selangor, Faisal Halim segera ditangkap.
Beliau berkata demikian menurut satu laporan dari Stadium Astro dimana Dr Mahathir mengecam tindakan tersebut dan mahu tindakan undang-undang segera diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab.
Baca Juga:
- Faisal Halim: Kim Pan-gon Mahu Saya Kembali Beraksi
- Peguam SFC: Polis Belum Beri Perkembangan Kes Faisal Halim
- Faisal Halim Mohon Doa, Mahu Segera Kembali Beraksi
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita perlu mencari siapa yang memulakan perkara ini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu terhadap sukan,” kata Tun Dr Mahathir.
Sebelum ini, Faisal membuat kemunculan buat kali pertama selepas beliau disimbah asid pada 5 Mei lalu dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan Selangor.
Barisan peguam yang dilantik oleh Selangor bagi mewakili Faisal memaklumkan pihak polis masih belum memberi sebarang perkembangan terhadap anak guam mereka mengenai kes simbah asid yang dialami pemain itu.
Menurut Hajian Omar, mereka percaya pihak polis sedang melakukan siasatan dan memberi ruang kepada badan itu untuk menjalankan tugas.
“Amat jelas dan kami percaya ia adalah sesuai untuk di siasat di bawah kesalahan jenayah serius Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya atau Seksyen 307 atas percubaan membunuh. Saya percaya Polis adalah lebih pakar dan tahu apa yang sesuai untuk kes ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Faisal Halim memohon doa dari semua pihak agar beliau kembali pulih dan beraksi bersama Selangor dan juga skuad kebangsaan.
“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.
“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.