Pihak polis dilaporkan sudah merakam keterangan 16 individu dalam kes pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dibuli oleh senior.
Memetik Buletin TV3, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua yang dirakam percakapan membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM.
Baca Juga:
- ATM Siasat Satu Lagi Kes Buli Dan ‘Ditekap Seterika’ Di UPNM
- Kes Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung Sampai Mati
- Hakim Putuskan 18 Penuntut UPNM Didapati Bersalah Dalam Kes Kematian Allahyarham Zulfarhan
“Keterangan mereka adalah penting untuk membantu siasatan yang dijalankan bagi membolehkan kita melengkapkan siasatan.
“Pada masa ini kita masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan terhadap mangsa iaitu pegawai kadet tahun dua (UPNM),” katanya hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam masa sama, Polis Kuala Lumpur juga belum mengesahkan sama ada seterika yang digunakan sudah dirampas untuk siasatan.
Terdahulu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.
Kemudian pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan.
Kejadian yang berlaku pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur.