Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mendedahkan motif kejadian tekap seterika yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah berpunca daripada ‘gurauan melampau’ yang berlaku tiba-tiba.
Hasil siasatan mendapati tiada motif dendam dan pergaduhan dalam insiden tersebut, lapor Harian Metro.
Baca Juga:
- Kes Tekap Seterika UPNM: 16 Individu Sudah Diambil Keterangan Polis
- ATM Siasat Satu Lagi Kes Buli Dan ‘Ditekap Seterika’ Di UPNM
“Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’.
“Bila ada benda-benda berbahaya seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas satu program di Dewan Serbaguna Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, semalam.
“Laporan perubatan masih belum peroleh. Laporan perubatan boleh digunakan oleh siasatan dan pendakwaan untuk buat apa apa keputusan awal.
“Tapi setakat ini kita belum terima namun itu tidak menghalang untuk kita katakan kertas siasatan sudah lengkap,” katanya.
Terdahulu, seramai 16 individu membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM telah diambil keterangan polis.