Lee Zii Jia menikmati kejuaraan keenam dalam siri Jelajah Dunia selepas berjaya menjulang trofi kejohanan badminton Terbuka Australia 2024, sebentar tadi.
Beraksi di Sydney, Zii Jia mengenepaikan cabaran hebat dijelmakan oleh pemain utama Jepun, Kodai Naraoka dalam aksi yang berlangsung lebih satu jam.
Baca Juga:
- Terbuka Australia 2024: Lee Zii Jia Teruskan Kemaraan Ke Final
- Terbuka Australia 2024: Lee Zii Jia Ketuai Cabaran 4 Wakil Malaysia Ke Separuh Akhir
- Video: Aksi Padu Lee Zii Jia Pukau Peminat Badminton Dunia
Seperti diramal, perlawanan melibatkan dua pemain ini pasti berlangsung dengan cukup menarik serta aksi saling kejar-mengejar ditampilkan terutamanya pada set pertama dan ketiga.
Ia dapat disaksikan pada set pertama dimana Naraoka cuba bangkit daripada ketinggalan 15-20 ke 19-20 tetapi ia masih belum mampu untuk menghalang kemenangan Zii Jia 21-19.
Segalanya serba tidak menjadi buat Zii Jia pada set kedua hingga membolehkan Naraoka meraih kemenangan mudah 21-11 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Zii Jia kelihatan sedikit hilang fokus pada permulaan set ketiga dimana ketinggalan 0-5, tetapi pemain ranking kelapan dunia itu bangkit daripada lamunan untuk tampil lebih baik.
Aksi kemudiannya semakin menarik dengan kebangkitan Naraoka pada lewat permainan tetapi Zii Jia kental bertahan untuk menyerap tekanan hebat itu sekali gus mengesahkan kejuaraan menjadi miliknya dengan kemenangan 21-18.
Kemenangan manis dilakarkan di Quaycentre itu membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $31,500.00.
Manakala sebelum itu gandingan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Lai Pei Jing gagal mengambil kesempatan menang set pertama apabila mereka tumpas kepada Febriana Kusuma-Amallia Pratiwi 21-12, 7-21, 13-21.
Terbuka Australia 2024 merupakan kejohanan berstatus Super 500 dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).