Beberapa hari lalu, isu penjualan semula slot tempahan oleh ulat tiket (scalper) di restoran milik usahawan terkenal Khairul Aming, Rembayung, menjadi perbualan warganet.
Orang ramai kongsikan pelbagai solusi yang boleh dicuba untuk menyekat kemaraan scalper daripada terus membuat tempahan Rembayung.
Menjawab cadangan serta keprihatinan orang ramai mengenai situasi tersebut, Khairul Aming tampil menjelaskan bahawa pihak pengurusan telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan sejak awal, namun berdepan cabaran teknikal yang rumit.
Menurut beliau, tindakan pihak tidak bertanggungjawab dan hacker yang sentiasa cuba melepasi sistem kawalan menjadikan usaha membanteras scalper bukannya satu tugas yang mudah.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai cadangan untuk membuka tempahan secara terus (walk-in). Menurutnya, langkah tersebut dibimbangi akan menimbulkan masalah baharu seperti kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar serta mengganggu ketenteraman awam.
“Buka walk-in juga akan huru-hara. Kalau 20 kereta turun depan kedai, dah cukup untuk bagi kawasan situ kesesakan jalan raya. Keselesaan pelanggan, kelajuan makanan dikeluarkan, serta kualiti perkhidmatan merupakan elemen penting yang perlu dijaga,” jelas beliau melalui satu hantaran balas di media sosial.
Khairul Aming Akan Guna Sistem Undi
Bagi menangani kemelut ini secara berfasa, pihak pengurusan Rembayung kini dalam proses menilai pelaksanaan sistem undian secara manual (manual ballot/lucky draw) sebagai salah satu langkah penyelesaian baharu.
View on Threads
“Satu pilih kita tengah explore ialah manual ballot/lucky draw, assign slot, selepas itu key in manually masuk Umai. Kami sedang usahakan,” kata Khairul Aming.
Melalui kaedah ini, pelanggan yang berjaya dipilih menerusi undian akan diperuntukkan slot tempahan khas sebelum maklumat mereka dimasukkan secara manual ke dalam sistem tempahan Umai
Orang ramai berharap agar langkah penambahbaikan ini diharapkan mampu mengembalikan ketelusan sistem tempahan.