Semalam terasa kehangatan sukan perlumbaan F1 apabila penjualan tiket di dalam talian berlaku secara mengejut sekaligus membuatkan para peminat tempatan mahu merebut peluang keemasan melihat detik bersejarah yang bakal berlaku pada bulan Oktober di SIC kelak.
Namun, sebelum dapat menyaksikan kelajuan jentera di atas trek, perjuangan sebenar selalunya bermula di hadapan skrin telefon pintar.
Inilah pengalaman mencabar yang dilalui oleh pempengaruh terkenal, Khairul Aming, atau nama penuhnya Khairul Kamarulzaman, apabila berdepan detik penuh debaran demi memburu tiket sukan berprestij tersebut.
Cabaran Beratur Panjang Dan Tewas Kepada Rasa Mengantuk

Perjalanan ini bermula pada waktu malam apabila beliau mula menyertai sistem giliran pembelian tiket secara dalam talian. Sekitar jam 10:34 malam, paparan di skrin memperlihatkan situasi yang cukup mendebarkan
Terdapat seramai 47,761 orang pembeli lain yang sedang beratur di hadapan beliau, dengan anggaran masa menunggu melebihi 55 minit. Setelah sekian lama merenung skrin dan menanti pergerakan angka yang terlalu perlahan, fitrah manusia akhirnya tidak dapat dilawan. Beliau tewas kepada rasa mengantuk yang amat sangat lalu tertidur.
Kejutan Saat Terjaga Dan Keajaiban Muat Semula
Sekitar jam dua pagi, beliau tersedar dari tidur dan terus memeriksa telefon bimbitnya. Perasaan kecewa mula menyelubungi diri apabila melihat laman web rasmi jualan tiket itu memaparkan bahawa semua tiket sudah habis dijual. Pada waktu ini, ramai yang mungkin sudah berputus asa dan menyambung tidur.
Namun, beliau mengambil keputusan untuk mencuba nasib dengan memuat semula atau refresh halaman berkenaan secara berterusan selama kira-kira lima minit.

Tiba-tiba, satu keajaiban berlaku apabila tiket zon Main Grandstand yang tadinya ditandakan habis, muncul kembali di dalam sistem. Tanpa membuang masa, beliau terus memasukkan empat keping tiket ke dalam troli dan melengkapkan urusan pembayaran.
Kejayaan Pembelian Dan Pesanan Berharga
Tepat jam 2:10 pagi pada 14 Ogos 2026, e-mel pengesahan rasmi akhirnya diterima, mengesahkan pembelian empat keping tiket Main Grandstand bagi tempoh tiga hari perlumbaan.
Menerusi hantaran di akaun Threads, beliau turut berkongsi tips dan memberi semangat kepada peminat lain agar tidak cepat berputus asa. Beliau menasihatkan orang ramai untuk terus memuat semula halaman web kerana tiket di zon lain seperti B Hillstand dan C Hillstand juga masih ada.
Tidak lupa juga, beliau meletakkan amaran pada resit pembeliannya supaya gambar tersebut tidak dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan. Pengalaman ini membuktikan bahawa sedikit usaha tambahan dan kesabaran akhirnya membuahkan hasil yang sangat manis.
Dalam pada itu, netizen turut berkongsi nasib mereka yang masih belum berjaya mendapatkan tiket F1 dan sedia mengambil tips KA sebagai panduan.
Tidak kurang juga ada yang berseloroh dengan KA dengan mendakwa inilah perasaan mereka bertarung mendapatkan slot Rembayung di restoran miliknya.