Baru-baru ini, satu video masakan oleh Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairulaming telah menarik perhatian ramai dan turut menerima teguran daripada seorang doktor.

Sejurus video masakan itu tular di Twitter, seorang pakar kesihatan menegur kaedah masakannya yang dianggap kurang sihat dan berisiko kepada mana-mana individu kerana menggunakan minyak masak yang banyak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tidak mahu memanjangkan isu tersebut, Khairulaming telah memuat naik satu video khas untuk menjernihkan keadaan. Dalam video tersebut, Khairulaming memberi penjelasan dari perspektif individu berlebihan berat badan dan perspektif pencipta kandungan makanan.

Beliau mengakui mempunyai masalah berat badan ‘turun naik’ kerana pengambilan makanan secara berlebihan. Tetapi, kini beliau mula menjaga pemakanan dan makan secara beringat.

Dalam setiap video masakannya pula, beliau menunjukkan cara penyediaan makanan yang betul dengan menggunakan bahan dan cara masakan yang sebenar supaya ia tidak lari daripada resipi yang asal.

“Pertamanya, kita boleh kurangkan minyak, kita boleh tukar resipi, kita boleh tukar bahan, tapi ia akan jadi tak sedap macam original.

“Kalau kita nak sambal yang sedap kita kena masak dengan minyak yang banyak supaya ia pecah minyak. Kalau nak ayam goreng yang juicy dan crispy, kena deep fry dan goreng dengan minyak yang banyak.

“Kalau nak mac and cheese yang creamy kena lebihkan keju. Memang itu caranya. Kalau kita nak ubah, boleh, tapi dia tak jadi macam original. Itu sahaja,” ujarnya.

Namun sebab utama Khairulaming mengekalkan resipi adalah untuk mengajar mereka di luar sana ‘realiti sebenar’ makanan yang mereka makan setiap hari.

“Saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula, berapa banyak minyak semua itu, sebab saya nak bagi yang realiti. Inilah cara sebenar penyediaannya di luar sana.

“Bila orang kata banyaknya minyak tetapi ia sama sahaja apa yang kita makan di kedai makan. Cuma kita tidak aware dengan perkara tersebut. Jadi, kalau saya ubah resipi dan jadi tak sedap, orang akan maki saya balik. So, I cannot win, I cannot please anyone.

“Tetapi, paling penting, apabila makanan itu sudah siap, anda semua boleh kawal portion makan itu,” jelas Khairul Aming.

Terdahulu, tular di Twitter, Dr Rafidah Abdullah menasihati Khairulaming supaya mengurangkan masakan berasaskan goreng dan penggunaan minyak yang banyak.

Menurutnya, ia berkemungkinan mempengaruhi amalan pemakanan yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun semalam Dr Rafidah telah membuat permohonan maaf kepada Khairulaming kerana ramai yang sudah salah anggap dengan nasihatnya.

Dia berharap antara penambahbaikan yang boleh dibuat oleh pencipta kandungan adalah untuk menambah info tentang kandungan kalori pada setiap menu masakan mereka.