Maha suci Allah yang Maha Baik! Tak terfikir dek akal kami yang terbatas.
3 Oktober 2016, tarikh yang ibu dan ayah syukuri sebagai satu pencapaian untuk anakanda sulung kami pada usianya 7 tahun.
Genap 5 bulan setengah, Allah berikan kemudahan untuk anakanda kami mengkhatamkan Al Qur’an buat kali pertama dalam hidupnya. Biasa untuk orang lain, tapi luar biasa untuk kami orang biasa-biasa.
Kami bukan lulusan sekolah ugama, bukan anak ustaz/ustazah, juga bukan hafiz/hafizah.
Ayahnya khatam Al Quran pertama kali pada umur 8 tahun. Dan ibunya jauh ketinggalan, khatam Al Quran pada umur 12 tahun.
Anak kami juga anak kecil yang biasa-biasa, bukan juga belajar di sekolah tahfiz. Dan yang paling pasti, kami masih bertateh lagi belajar mengaji.
Jadi perkongsian ini khusus untuk orang yang sama seperti kami.
Orang biasa-biasa yang berusaha mencari cara untuk anak mereka merasa khatam Al Quran buat kali pertama dalam hidup mereka.
Saya mengambil keputusan menulis dengan niat untuk berkongsi. Bukan nak mengajar-ngajar, bukan nak menunjuk-nunjuk.
Ceritanya begini, bagaimana kami menjalani fasa ini bersama-sama dengan anakanda kami:
1. Ukur kemampuan
Ukur baju di badan sendiri. Kami sedar anak kami bukan jenis yang laju.
Sewaktu kanak-kanak lain pada usia 6 tahun sudah huffaz Al Quran dan pandai bertaranum, anakanda kami masih lagi belajar Iqra.
Ada masa rajin, ada masa liat. Ada masa dapat pujian, ada masa kena rotan.
Masuk darjah 1 pun masih belum habis Iqra’. Tapi dia mula baca mukaddam merangkak-rangkak. Alhamdulillah, dia mengenal huruf dan boleh baca.
Di sekolah pula dia belajar kaedah Qiraati. Kami redha saja cikgu mahu masukkan dia ke kelas mana mengikut tahapnya.
Bulan Januari sehingga Mac memang kami habiskan untuk baca Iqra’ dan Juzuk 30 saja. Tak laju tapi berterusan baca. Tidak paksa-paksa.
2. Niat dan sasaran
Bermula bila dia masuk darjah 1, kami pasang niat agar setiap hari ada peruntukan untuk basahkan hati dengan baca ayat suci Quran walaupun sedikit. Niat kecil saja ikut kemampuan kami dan anakanda. Yakin niat yang baik Allah mudahkan.
Sekitar bulan Mac, kami mula buat kira-kira. Al Quran ada 604 muka surat. 604/2 = 302.
Kalau ikut formula ini, setahun boleh khatam Al Quran jika konsisten baca 2 muka surat setiap hari.
Memandangkan anak kami biasa-biasa saja, jadi kami target baca 2 muka surat minimum sehari. Sepakat, sasaran kecil kami untuk bantu anakanda khatam Al Quran dalam masa setahun.
3. Disiplin waktu mengaji
Mula-mula, kami tetapkan waktu untuk mengaji bermula selepas solat Maghrib berjemaah.
Tapi, lama-kelamaan anakanda kami mula suka dan sayang nak tinggalkan kuliyah Maghrib di Surau Al Ikhlas. Bila balik dari kuliyah, dia mengantuk dan terus tertidur.
Maka, rugilah untuk malam itu tak dapat mengaji Al Quran. Percubaan pertama kami gagal.
Kemudian, kami cuba pula untuk tetapkan masa mengaji usai solat Subuh berjemaah.
Niatnya, supaya kami mulakan awal pagi dengan ‘sarapan’ ayat-ayat Al Quran.
Kaedah ini tak bertahan lama sehingga kami sedar, waktu ini pun tak praktikal untuk kami. Dan kebanyakan waktu kami terkejar-kejar ke sekolah dan ofis. Percubaan kedua gagal lagi.
Akhirnya, kami cuba pilihan waktu ketiga.
Jarak rumah kami ke sekolah anakanda dalam 4 km. Waktu normal, 8 minit boleh sampai ke sekolah. Hari persekolahan, 20-25 minit baru boleh sampai.
Untuk kurangkan rasa stres terperangkap dalam kesesakan trafik, kami mula baca Al Quran dalam kereta.
Dan Alhamdulillah, baru kami sedar ini waktu terbaik dan praktikal untuk kami mengaji. Tiada alasan untuk ‘skip’ mengaji kerana setiap hari memang wajib ke sekolah.
4. Kata sepakat
Selepas pilih waktu wajib untuk mengaji dan berapa muka surat yang pelu dibaca setiap hari, kami mula terangkan pada anakanda.
Tujuannya supaya dia faham dan bersedia untuk capai sasaran akhir bersama-sama. Dia setuju dan bersemangat, Alhamdulillah.
Jadi, setiap kali masuk dalam kereta, hari persekolahan mahupun hari cuti, dia tahu apa disiplin yang dia perlu lakukan selepas baca doa naik kenderaan.
Walau bagaimanapun, waktu mengaji kami mungkin praktikal untuk kami, tapi mungkin tidak untuk orang lain.
5. Berjemaah
Cabaran mengaji secara berjemaah bermula April 2016.
Ini cara cetuskan motivasi untuk anak suka mengaji. Anakanda baca, ibu baca. Ayah dengar, ayah betulkan.
Mahu anak mengaji, ibu ayah kena lebih dulu mengaji. Dia nampak, dia buat.
Dalam kereta wajib ada 3 naskah Al Quran. Satu anakanda punya, satu ibu punya dan satu lagi untuk umum guna.
Ini untuk mendorong sesama pencinta Al Quran dan memudahkan anakanda mengaji. Biar dia tak kekok dan tak malu kelek Al Quran.
6. Variasi
Kanak-kanak cepat bosan. Perlu selalu pelbagaikan cara supaya dia suka nak mengaji.
Umur 6 tahun, anakanda dibiasakan dengan rutin 1 hari 1 tazkirah semasa dalam perjalanan ke sekolah.
Bila dia mula mengaji, kami letak target mudah-mudah dulu. Bermula dengan baca 1 muka surat sahaja.
Kemudian tambah, 1 muka surat baca mushaf, 1 muka surat baca terjemaah. Bila dia bertambah baik, mula tambah 2-3 muka surat pula.
Baca terjemahan lebih seronok untuk anak-anak. Terutama bila dia sendiri faham maksud bahasa Arab.
Pernah satu ketika dia sebut, “Abang dah jumpa 5 nama neraka. Jahannam, hutomah, jahim, hawiyyah dan sair”.
Sama juga bila dia jumpa nama buah-buahan dan warna-warna dalam Al Quran. Anakanda nampak lebih bersemangat dan seronok untuk baca dan baca lagi.
Prosesnya bertahap-tahap. Perlahan-lahan. Sehinggalah dia sendiri suka mengaji, boleh separuh juzuk sekali baca dan di akhir-akhir bulan September sudah boleh baca 1 juzuk sehari.
7. Sokongan
Sokongan ahli keluarga elemen penting yang banyak membantu.
Waktu kami tiada, ada adik-adik ipar yang akan bantu dia mengaji. Bila di kampung, tok maa temankan dia mengaji.
Bila atok datang, atok betulkan dia mengaji. Di sekolah pula ada ustazah yang akan pantau dia mengaji.
Jadi dia seronok dan bersemangat untuk mengaji.
Kami selalu tekankan minta doa dan restu dari atok, mak tok, tok maa dan tok abah sepanjang perjalanan mengaji ini. Kita tidak tahu doa siapa yang Allah pandang, mungkin kemudahan ini datangnya dari doa mereka.
8. Pantauan
Walaupun dia sukarela mengaji, namun tak boleh tinggalkan dia mengaji seorang diri.
Ada waktu kami tersilap, terlepas pandang. Jadi banyak kali dia mengaji mengulang tempat yang sama sebab tersilap tanda.
Ada waktu dia tak tahu baca, ada masa dia nak faham sebutan bila jumpa hukum-hukum tajwid tertentu, ada ketika dia nak tahu maksud perkataan. Itu semua perlukan bimbingan orang dewasa.
Ini proses kami belajar bersama-sama.
Setiap Khamis kami semak, capai atau tidak target 1 juzuk bagi setiap minggu. Jika tidak pantau, susah untuk ukur kemampuan sebenar anakanda dan diri kita sendiri.
9. Hadiah dan hukuman
Bila dia berjaya capai sesuatu target lebih awal dari jangkaan, kami belajar beri hadiah. Penghargaan untuk pencapaiannya. Jadi dia lebih bersemangat.
Buktinya target asal kami untuk dia khatam Al Quran dalam masa 1 tahun, tapi dia berjaya lakukan dalam masa 5 bulan setengah sahaja dengan izin Allah.
Kadang-kadang, kami bagi ‘suprise’ walau pun dia tak minta. Ada waktu dia boleh pilih apa dia suka. Lego atau makan di tempat yang dia suka.
Tapi perlu selalu murnikan niat, mengaji bukan untuk dapat hadiah atas dunia, mengaji kerana Allah.
Ada masa anakanda penat. Ada ketika dia mengantuk atau malas-malas.
Kalau dia tak capai target pun ada hukumannya. Hukuman ringan saja. Ganti (qada) baca lebih banyak muka surat untuk hari berikutnya.
10. Doa
Perjalanan ini tidaklah mudah. Ada masa kami lemah. Jangan mengalah, terus baiki diri.
Ini semua adalah proses tarbiyah untuk kami dan anak-anak.
Semuanya tidak akan berjaya melainkan dengan izin Allah Ta’ala.
Jadi, sebaik-baik tempat meminta, hanyalah pada DIA.
Doa jangan putus-putus. Sedikit demi sedikit cuba belajar untuk menjadi lebih ‘indah’ di mata Allah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, jika anak kita tak pandai, kita buat cara tak pandai. Jika anak kita tak laju, kita buat cara tak laju. Ini proses belajar.
Usah tunggu pandai baru mahu mengaji. Jangan pernah berhenti mengaji. Kami pun tak pandai dan masih belajar dan terus belajar lagi.
Mengaji Al Quran bukan satu perlumbaan. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang.
Kalau tak mampu berlari, kita berjalan. Kalau tak mampu berjalan, kita merangkak.
Yang pasti jangan berhenti pimpin tangan mereka untuk sampai ke garisan penamat bersama-sama.
Pencapaian ini bukan penamat tapi titik permulaaan untuk perjalanan seterusnya yang jauh lebih panjang dan berliku. Doakan istiqomah.
“Mereka yang mahir membaca Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat. Adapun orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut & merasa sukar ketika membacanya, baginya dua pahala.” (Hadith Riwayat Muslim)
Sekadar berkongsi pengalaman tidak seberapa bagaimana anak kecil yang biasa-biasa boleh sebenarnya untuk khatamkan Al Quran seawal umur 7 tahun.
Satu kerugian besar bagi kami jika tidak memanjangkan ilmu yang boleh membawa kebaikan kepada orang lain yang sangat memerlukan. Apa yang kami pelajari hakikatnya datang dari ilmu Allah Ta’ala juga.
Semoga Allah memelihara niat kami dan mengampunkan segala kecatatan dalam perkongsian ini.
Wa’alam, bukan pandai cuma ibu setahun jagung yang banyak kekurangan.
Jika baik, amal. Jika buruk, tinggal.
Saya doakan semua yang membaca penulisan ini menjadi teman karib Al Quran, dan Al Quran juga menjadi sebaik-baik peneman kita di alam kubur sana!
Amin ya Robbal Alamin.