Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), serta semua pihak lain yang terlibat untuk membuat audit dalaman untuk menyiasat kerugian berjumlah RM43.9 juta.
Arahan itu dikongsikan menerusi platform X.com @anwaribrahim.
Baca Juga:
- SPRM Mula Siasat Kerugian Pelaburan Khazanah, PNB Dalam FashionValet
- ‘Penjualan FashionValet Adalah Satu Langkah Keluar Yang Bertanggungjawab’ – Khazanah, PNB
- ‘Kami Bertanggungjawab Sepenuhnya Atas Kerugian Pelaburan Khazanah, PNB’ – Vivy Yusof, Suami Tinggalkan FashionValet
“Selaku Pengerusi, saya telah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik, selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing.
“Audit dalaman ini juga tidak terkecuali kepada Permodalan Nasional Bhd (PHB) serta pihak lain yang terlibat,” petik hantaran Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Vivy Yusof dan suaminya, Fadza Anuar selaku pengasas FashionValet menyatakan dari awal bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan dan mengumum melepaskan jawatan mereka bagi mengelakkan syarikat berkenaan terjejas.
Sementara Khazanah, PNB mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa penjualan saham mereka adalah satu langkah keluar yang bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong syarikat ke arah pertumbuhan baharu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan pasukannya sudah mula melancarkan siasatan sama ada terdapat unsur jenayah atau salah laku tatakelola.