Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon bakal mengumumkan barisan pemain bagi menghadapi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada Mac ini.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu Kim Pan-gon sudah menghubungi kelab dan pemain dan beliau akan mengeluarkan senarai pemain dalam masa terdekat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Terdapat persoalan mengenai barisan pemain yang akan dipanggil memandangkan saingan Liga Malaysia musim ini belum bermula dan ada pemain yang masih bercuti selain ada juga kelab yang belum memulakan sesi latihan.

Jurulatih dari Korea Selatan itu dijangka memanggil barusan pemain sama dari skuad yang dibawa bagi menghadapi temasya Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini.

Pasukan negara berada dalam keadaan terbaik selepas mengutip satu mata ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan E menentang Korea Selatan yang mana aksi tersebut berakhir dengan keputusan 3-3.

Satu mata yang dibawa pulang bertepatan dengan sasaran yang diletakkan oleh Datuk Hamidin dimana beliau tidak mahu pasukan negara pulang dengan tangan kosong dari temasya edisi kali ini.

Salah seorang penjaring gol ketika bertemu Korea, Faisal Halim mendapat perhatian selepas jaringan beliau diangkat sebagai gol terbaik Piala Asia 2023.

Semakan terakhir setelah undian ditutup pada Ahad lalu menyaksikan pemain sayap Selangor itu mendapat undian sebanyak 85 peratus, jauh meninggalkan pemain lain seperti pemain Jordan, Mousa Al Tamari yang mengumpul hanya sembilan peratus undian, kapten Korea, Son Heung-min (tiga peratus), bintang Thailand, Supachok Sarachat (satu peratus) dan penyerang Iran, Sardar Azmoun (satu peratus).

Tiga lagi jaringan yang dicipta oleh pemain Jepun, Keito Nakamura, Hassan Al Haydous (Qatar) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) tidak menerima sebarang undian.