Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon menganggap semua pemain yang dipilih menyertai latihan pusat mempunyai kualiti sama selepas melihatkan kepada beberapa pemain tonggak mengalami kecederaan.

Kem latihan pusat skuad negara sudah memasuki hari ketiga sebagai persiapan untuk menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Baca Juga:

Seperti dilaporkan sebelum ini, Pan-gon terpaksa melupakan khidmat duo penyerang, Darren Lok dan Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan.

Susulan dengan keadaan tersebut, Zhafri Yahya dan Nur Shamie Iszuan Amin telah dipanggil untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Ia satu masalah besar dengan kes berkaitan Faisal Halim, kecederaan Arif Aiman dan kecederaan buku lali Morales,” ujar Kim Pan-gon menurut sumber laporan Bernama.

“Semua penyerang utama ada masalah dan ini yang kita hadapi pada ketika ini, tetapi kita masih ada pemain lain.”

“Saya percaya kesemua pemain mempunyai kualiti yang sama, mungkin mereka mempunyai motivasi yang lebih dan ini masa mereka untuk buktikannya.”

“Bagaimanapun, kita akan cuba mencari pilihan terbaik dan percaturan untuk persediaan kepada perlawanan itu,” tambah pengendali kelahiran Korea Selatan itu lagi.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Malaysia kini berada ditangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan.

Skuad Harimau Malaya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu kumpulan, Krygyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata.

Sumber