Penjaga gol veteran Cape Verde, Vozinha, yang mempamerkan aksi luar biasa ketika membantu pasukannya mengikat gergasi bola sepak, Sepanyol, bakal disatukan semula dengan ibunya menjelang perlawanan penting menentang Uruguay pada Ahad ini.
Pemain berusia 40 tahun itu, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam aksi tamat tanpa jaringan pada Isnin lalu, sebelum ini mendedahkan bahawa ibunya tidak dapat hadir ke Piala Dunia berikutan kos permohonan visa Amerika Syarikat (AS) yang terlalu tinggi.
Bagaimanapun, ibunya, Ana Candida Evora, mengesahkan kepada pihak BBC di kediamannya di Sao Vicente bahawa segala urusan perjalanan ke Miami kini telah diatur.
“Saya sangat gembira. Segalanya berlaku dengan begitu pantas, tetapi saya tetap bersyukur. Dengan izin Tuhan, saya akan dapat melihat anak saya beraksi di Piala Dunia,” kata Evora.
“Saya ke sana untuk memberikan sokongan, kekuatan, dan keberanian kepadanya. Saya mahu memeluknya selepas perlawanan tamat.”
Campur Tangan Peringkat Tertinggi AS
Star Cape Verdean goalkeeper Vozinha and his mother will be reunited in Miami in time for the match on Sunday.
Thank you to Secretary Rubio, U.S. State Department officials, the government of Cabo Verde and FIFA for working together to make this happen. pic.twitter.com/JaWpSQuzb2
— Hakeem Jeffries (@RepJeffries) June 17, 2026
Sebelum itu, Ketua Demokrat Dewan Perwakilan AS, Hakeem Jeffries, mengumumkan bahawa yuran visa telah dikecualikan dan urusan perjalanan untuk ibu penjaga gol tersebut telah diselesaikan.
“Tiada seorang ibu pun yang patut melepaskan peluang untuk melihat anaknya mencipta sejarah,” tulis Jeffries menerusi hantaran di X.com.
Beliau menambah bahawa beliau telah berhubung dengan Setiausaha Negara, Marco Rubio, bagi meminta Jabatan Negara AS melakukan apa sahaja yang termampu demi memastikan ibu Vozinha dapat menghadiri perlawanan seterusnya.
“Ia adalah satu penghormatan untuk mengumumkan bahawa ibu Vozinha akan memperoleh visa tepat pada masanya untuk menyaksikan perlawanan menentang Uruguay pada Ahad ini. Semua yuran telah dikecualikan selaras dengan dasar rasmi.
“Urusan perjalanan kini sedang dibuat untuk menyatukan semula ibu dan anak di Miami. Saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Rubio, pegawai Jabatan Negara AS, kerajaan Cape Verde, dan FIFA atas kerjasama ini,” kata Ahli Kongres dari Brooklyn itu.
Seorang pegawai Jabatan Negara AS kemudiannya mengesahkan bahawa pasukan visa mereka di Praia sedang berhubung rapat dengan Evora bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan.
Cabaran Visa dan Lonjakan Populariti
Cape Verde merupakan salah satu daripada lima negara bertanding yang rakyatnya diwajibkan oleh kerajaan AS untuk membayar deposit visa boleh laras sekitar £11,000 (kira-kira RM65,000). Walau bagaimanapun, peraturan tersebut telah dikecualikan bagi penyokong yang memiliki tiket perlawanan sejak Mei lalu.
Rentetan aksi tangkasnya menentang Sepanyol, Vozinha kini menjadi ‘wira pujaan’ (cult hero) dan berjaya meraih jutaan pengikut baharu di media sosial.
Pemain yang telah mengumpul 91 kaps antarabangsa itu kini beraksi untuk kelab Chaves di divisyen dua Portugal, selepas berkelana di beberapa liga luar seperti di Slovakia, Angola, Moldova, dan Cyprus.
Air Mata Kerinduan dan Detik Bersejarah
Mengimbas kembali emosinya selepas perlawanan menentang Sepanyol, Vozinha tidak dapat menahan air mata kegembiraan dan kesedihan.
“Saya menangis kerana saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Malang sekali mereka tiada di sini kerana telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya,” kata Vozinha.
“Satu lagi sebab adalah ibu saya. Dia tidak dapat berada di sini disebabkan isu visa dan kos yang perlu dibayar. Kami tidak sempat menyelesaikannya tepat pada masanya. Saya amat berharap dia dapat berada di sini.”
“Saya pernah terfikir untuk bersara daripada skuad kebangsaan, tetapi saya meneruskannya demi mengejar impian ini,” tambahnya.
Cape Verde dijadualkan menentang Uruguay dalam aksi Kumpulan H pada 21 Jun, diikuti perlawanan menentang Arab Saudi pada 27 Jun ini.