Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengesahkan hasrat mereka untuk memulakan rundingan dengan Jurgen Klopp susulan peletakan jawatan Julian Nagelsmann sebagai ketua jurulatih, semalam.

Badan induk bola sepak Jerman itu turut mengumumkan bahawa bekas pengendali Liverpool tersebut telah memberikan isyarat positif mengenai kesediaannya untuk mengisi kekosongan jawatan jurulatih skuad kebangsaan, sekali gus membuka ruang kepada kepulangan sensasi beliau ke arena kejurulatihan.

Jerman kini sedang mencari ketua jurulatih baharu selepas Julian Nagelsmann meletakkan jawatan hanya empat hari selepas mereka tersingkir di pusingan 32 terbaik Piala Dunia menerusi kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay.

Hierarki DFB mengadakan mesyuarat selama tiga jam di Frankfurt yang menyaksikan Nagelsmann dilaporkan menerima pampasan penamatan kontrak bernilai €7 juta sekali gus menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 2028.

Dalam usaha mengelakkan kelewatan seperti yang pernah berlaku sebelum ini dalam menyingkirkan jurulatih yang gagal mencapai sasaran, DFB bertindak pantas dengan memulakan hubungan dengan calon utama mereka.

Klopp Berminat Bimbing Skuad Jerman

Dalam kenyataan rasmi DFB yang mengesahkan pemergian Nagelsmann, mereka memaklumkan bahawa barisan kepimpinannya akan segera mengadakan rundingan dengan Jurgen Klopp bagi membincangkan syarat pelantikan sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan.

Klopp yang kini berusia 59 tahun sedang bertugas sebagai penganalisis televisyen selain memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global bagi kumpulan Red Bull.

Beliau dilaporkan mempunyai klausa pelepasan kontrak yang dikhususkan sekiranya beliau ditawarkan jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Jerman.

“Berhubung pelantikan ketua jurulatih baharu, kepimpinan DFB kini akan mengadakan rundingan dengan Jurgen Klopp. Beliau telah pun memberikan isyarat positif mengenai kesediaannya untuk memikul tanggungjawab tersebut.”