Jurgen Klopp telah menyertai pengurus pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino dalam mengkritik keras waktu rehat hidrasi (hydration break) pada Piala Dunia 2026.
Bekas pengurus Liverpool itu mendakwa bahawa gangguan di pertengahan setiap separuh masa itu direka lebih untuk memenuhi kepentingan pengiklan komersial berbanding benar-benar menjaga kebajikan pemain.
Pada masa ini, pemain diberikan rehat selama tiga minit pada minit ke-22 bagi setiap separuh masa untuk minum air kerana cuaca musim panas yang sangat panas di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Klopp Tak Berminat Dengan Hydration Break
Namun, Klopp tidak yakin dengan alasan yang diberikan oleh badan pentadbir bola sepak tersebut.
“Bola sepak kini seolah-olah menjadi tebusan kepada para eksekutif yang selesa berada di pejabat berhawa dingin,” ujar Klopp menurut sumber laporan Goal.
“Apabila saya melihat para pemain hanya berdiri semasa rehat akibat cuaca panas, sementara waktu siaran televisyen menentukan rentak perlawanan, saya tidak dapat mengelak daripada bertanya kepada diri sendiri: untuk siapakah Piala Dunia sebenarnya? Peminat? Pemain? Atau para pengiklan?”
“Perlawanan Piala Dunia sepatutnya mengalir seperti sungai. Sebaliknya, kita membina empangan di tengah-tengah permainan supaya iklan dapat disiarkan.”
“Dahulu, bola sepak adalah acara utama, tetapi kini ia berisiko menjadi sekadar muzik latar bagi sebuah pertunjukan pengiklanan.”
Beliau turut menyifatkan waktu rehat tersebut sebagai ‘tidak lebih daripada sangkar bersalut emas yang dibina untuk para penaja’, walaupun ia dipersembahkan seolah-olah merupakan langkah mulia untuk melindungi pemain daripada cuaca panas.
Sebelum ini Pochettino tampil menempelak usaha tersebut dengan mengatakan: “Saya tidak menyukainya. Saya hanya bersetuju dengannya apabila keadaan cuaca benar-benar ekstrem. Tetapi apabila keadaan cuaca baik, ia tidak perlu.”