Pemain pertahanan Perancis, Ibrahima Konate membalas kenyataan Lamine Yamal yang mendakwa Perancis sepatutnya ‘takut’ berdepan Sepanyol menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 yang dinanti-nantikan, awal pagi Rabu.
Tidak mahu terganggu dengan perang psikologi itu, Konate menegaskan bahawa skuad Les Bleus kekal merendah diri dan tidak menghiraukan sebarang kenyataan atau tekanan dari luar.
Ketegangan semakin memuncak menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 yang menemukan dua gergasi bola sepak dunia itu di Arlington, Texas.

Selepas Sepanyol menewaskan Belgium pada suku akhir, sensasi muda Barcelona, Lamine Yamal mencetuskan perang psikologi apabila mendakwa Perancis sepatutnya menjadi pasukan yang berasa tertekan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua negara sejak kebelakangan ini.
Konate Balas ‘Usikan’ Yamal
Bagaimanapun, Konate pantas menepis kenyataan pemain muda itu: “Adakah Perancis takut kepada Sepanyol? Tidak. Sejujurnya, kami tidak memberi perhatian kepada segala kenyataan yang dibuat menjelang perlawanan,” ujar Konate menurut sumber laporan Goal.
“Kami tidak sepatutnya takut kepada sesiapa. Apa yang penting ialah kami perlu mengekalkan sikap rendah diri yang kami bawa sejak permulaan kejohanan ini dan tidak terperangkap dengan perkara seperti itu, lebih-lebih lagi pada saat penting seperti sekarang.”

“Dia boleh berkata apa sahaja yang dia mahu. Kami akan membuat persiapan sebaik mungkin, dan saya berharap apabila perlawanan berakhir, keputusan akan memihak kepada kami.”
“Sejujurnya, kami tidak memikirkan perkara itu secara khusus. Sepanyol adalah sebuah pasukan yang luar biasa dengan ramai pemain bertaraf dunia.”
“Namun, matlamat kami bukan untuk memberi tumpuan kepada seorang pemain sahaja kerana seluruh pasukan mereka mampu memberi ancaman. Bukan hanya Lamine, tetapi keseluruhan pasukan Sepanyol,” tambah Konate lagi.