Bercuti ke luar negara sememangnya menyeronokkan, namun kadangkala pelancong terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam dan taktik penipuan yang tidak masuk dek akal.

Itulah pengalaman pelik yang dilalui oleh seorang rakyat Malaysia apabila cubaan dua wanita warga asing untuk meminta beliau membayar bil makanan mereka bertukar menjadi perdebatan mengenai kedaulatan negara.

Kejadian yang tular di media sosial itu dikongsikan sendiri oleh mangsa menerusi akaun @Hawwerdloh_ug996 sebagai peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan taktik licik sebegini ketika melancong.

Bermula dengan alasan tidak cukup wang tunai

Konon ‘Satu Keluarga’ Sebab Cakap Mandarin, Lelaki Malaysia Ini Patahkan Taktik Licik Pelancong China Di Bali
Screenshot

Menurut perkongsian video tersebut, Loh pada awalnya sedang menikmati hidangan di sebuah restoran di Bali sebelum didatangi oleh dua orang wanita warga China. Mereka memulakan perbualan dengan bertanyakan asal usulnya.

Sebaik sahaja mengetahui Loh berasal dari Malaysia, kedua-dua wanita berkenaan terus mengadu bahawa mereka hanya membawa enam keping wang kertas dan tidak mempunyai baki dua keping lagi untuk melangsaikan bil makanan mereka.

Walaupun Loh menjelaskan bahawa beliau sendiri menggunakan kad kredit untuk membayar makanannya, pasangan wanita itu tetap berkeras memintanya membantu dengan meleretkan kad kredit tersebut bagi pihak mereka.

“Kalau saya tolong bayarkan, saya dan kawan-kawan tidak akan ada duit yang cukup untuk pulang ke Malaysia,” tegas Loh yang enggan termakan pujukan mereka.

Apabila ditanya mengapa mereka tidak membawa wang tunai yang mencukupi, wanita-wanita itu memberikan alasan bahawa mereka baru sahaja selesai melakukan aktiviti selaman skuba.

Guna sentimen bahasa dan dakwaan mengarut

Menyedari taktik mereka mula dipatahkan, kedua-dua wanita itu cuba bermain dengan emosi dan merayu agar Loh membantu atas dasar kesamaan bahasa.

Salah seorang daripada mereka cuba memujuk dengan mengatakan bahawa mereka semua adalah “satu keluarga” memandangkan Loh fasih berbahasa Mandarin.

Namun, Loh pantas menghidu muslihat tersebut dan tetap berpendirian teguh menolak permintaan mereka sambil menegaskan sekali lagi bahawa beliau adalah warganegara Malaysia.

Berang apabila rayuannya tidak diendahkan, salah seorang wanita itu mengeluarkan kenyataan mengejutkan dengan mendakwa kononnya “Malaysia adalah milik China”. Kenyataan melulu itu bagaimanapun segera disangkal oleh Loh.

Konon ‘Satu Keluarga’ Sebab Cakap Mandarin, Lelaki Malaysia Ini Patahkan Taktik Licik Pelancong China Di Bali

Dalam usaha terakhir untuk mendapatkan simpati, wanita itu mempersoalkan siapa lagi yang boleh membantunya memandangkan hanya Loh seorang sahaja di situ yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.

Loh dengan tenang menasihatkan wanita tersebut supaya keluar dari restoran dan mencari pelanggan lain yang benar-benar berasal dari China.

Akhirnya, kedua-dua wanita itu terpaksa berlalu pergi setelah menyedari mereka gagal mengikis walau satu sen pun daripada lelaki berkenaan.

Pelayan restoran dedahkan perkara sebenar

Tidak lama selepas wanita-wanita itu beredar, seorang pelayan restoran menghampiri meja Loh sambil memegang resit makanan mereka. Pelayan tersebut bertanya sama ada Loh ada cuba membantu membayar bil pasangan berkenaan.

Selepas Loh menafikannya, pelayan itu mendedahkan perkara sebenar yang jauh berbeza daripada drama yang dilakonkan tadi.

Menurutnya, kedua-dua wanita itu sebenarnya mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar bil mereka, tetapi sengaja enggan berbuat demikian.

Pelayan itu turut menunjukkan resit beserta wang tunai yang diserahkan oleh mereka sebagai bukti.

Lebih mengejutkan, wanita-wanita tersebut dikatakan sempat menuntut potongan harga dengan memberi alasan kononnya makanan yang dihidangkan sangat teruk, sedangkan mereka telah menghabiskan kesemua hidangan tersebut sehingga licin.

Malah, selepas didesak oleh pihak restoran sekalipun, pasangan terbabit dilaporkan tetap tidak membayar jumlah penuh bil makanan mereka.

Di penghujung rakaman tersebut, Loh sempat menitipkan pesanan agar para pelancong sentiasa peka dengan persekitaran dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik golongan penipu yang cuba mengambil kesempatan di tempat orang.