Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa mengakui tidak mengambil peduli terhadap sebarang kritikan terhadapnya ketika dipilih mewakili Harimau Malaya.

Sebelum ini, para peminat mempertikaikan pemilihannya dalam skuad Malaysia bagi mengadapi Piala Asia 2023 di Qatar namun Natxo Insa menegaskan ia langsung tidak memberi kesan kepadanya.

Baca Juga:

“Sejujurnya saya tidak membaca apa-apa di media sosial. Siapa yang menyokong saya, terima kasih dan siapa yang tidak menyokong, saya tidak membaca apa-apa, jadi ia tidak memberi kesan,” katanya.

FOTO: FAM

Walaupun jarang dipanggil mewakili negara ketika aksi persahabatan antarabangsa, kehadiran beberapa rakan sepasukan JDT memudahkannya untuk menyesuaikan diri.

“Ada ramai pemain JDT dalam skuad ini, jadi ia memudahkan saya untuk menyesuaikan diri.

“Kita mempunyai pasukan yang bagus, pemain yang bagus dan juga pemain muda yang beraksi banyak perlawanan. Mereka juga ada pengalaman yang bagus, jadi saya fikir ia akan menjadi perkara yang baik kepada kami.

“Kita boleh berdepan pemain di tahap tinggi yang beraksi di EPL (Liga Perdana Inggeris). Dengan pengalaman yang ada, saya sedia bantu mencatat keputusan positif.

“Saya tidak fikir kami perlu letak tekanan, kami hanya perlu pamerkan permainan terbaik,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.