Lisandro Martinez berdepan kemungkinan menerima tindakan disiplin selepas pemain pertahanan itu melancarkan kritikan keras secara terbuka terhadap pihak pengurusan tertinggi Manchester United selepas tewas 0-2 kepada Atletico Madrid dalam aksi UEFA Champions League (UCL) 2026/27 awal pagi tadi.

Pemain antarabangsa Argentina itu tanpa berselindung telah menimbulkan kemarahan barisan pembuat keputusan kelab selepas mempersoalkan tahap cita-cita serta strategi pengambilan pemain yang kini dikendalikan oleh lembaga pengarah The Red Devils.

Kelantangan Lisandro Martinez Bakal Undang Padah

Ketika bercakap selepas berakhirnya perlawanan tersebut, Martinez meletakkan kesalahan atas kemerosotan prestasi Manchester United ketika ini di bahu lembaga pengarah kelab, dengan turut menyasarkan pengarah bola sepak, Jason Wilcox.

Martinez juga dalam masa sama mendedahkan rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap urusan perpindahan pemain Manchester United baru-baru ini.

Walaupun kelab itu membawa masuk Youri Tielemans, Andrey Santos dan Carlos Baleba dengan nilai keseluruhan £155 juta, pemain pertahanan itu berasakan skuad masih kekurangan pemain berkualiti tinggi untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Sehubungan dengan itu, tindakannya dalam menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka dilaporkan telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan pihak pengurusan tertinggi di Old Trafford.

Ketika ketua jurulatih Michael Carrick sudah berdepan tekanan hebat susulan permulaan kempen yang mengecewakan, keputusan Lisandro Martinez untuk bertindak bertentangan dengan pendirian kelab itu menambahkan lagi kemelut yang melanda pasukan berkenaan.

Menurut sumber laporan Goal, barisan eksekutif Manchester United kini sedang mempertimbangkan tindakan tegas terhadap Martinez yang lantang menyuarakan kritikan.

Denda dalam jumlah besar sukar dielakkan susulan tindakannya selepas perlawanan itu.

Keputusan pemain pertahanan itu untuk terus mengkritik kelab ketika ditemu bual beberapa stesen televisyen dilaporkan telah meletakkan pihak pengurusan dalam keadaan sukar.

Tindakan menggugurkannya daripada kesebelasan utama atas faktor disiplin turut dipertimbangkan secara serius, sekali gus membuka kemungkinan Martinez diketepikan bagi perlawanan domestik terdekat Manchester United.

Pelanggaran serius terhadap protokol kelab itu juga dilihat telah menjejaskan peluang Lisandro Martinez untuk terus kekal di Manchester dalam jangka panjang.

Sumber