Pasukan Kyrgyzstan berjaya menewaskan Oman pada perlawanan kedua kumpulan D saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekaligus memberi kelebihan bagi Malaysia.

Kyrgyzstan dalam misi mencari kemenangan pertama dalam saingan kelayakan kali ini selepas tewas kepada Malaysia dengan keputusan 4-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu.

Baca Juga:

Bagi Oman pula, mereka mahu meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Chinese Taipei dengan keputusan 3-0 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Pemain tengah Kyrgyzstan, Odilzhon Abdurakhmanov menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-49 pada aksi menentang Oman.

Jaringan tunggal itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus memberikan kemenangan pertama bagi skuad kendalian Stefan Tarkovič dalam saingan kelayakan kali ini.

Kejayaan Kyrgyzstan ini nyata memberi kelebihan kepada Malaysia dimana skuad Harimau Malaya ketika ini menghuni tangga teratas dalam carta kumpulan D.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon berjaya mencatat kemenangan tipis ke atas Chinese Taipei dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Darren Lok sekaligus mencatat kemenangan kedua dalam saingan kelayakan kali ini.

Malaysia dipaksa bekerja keras dengan beraksi di atas permukaan padang yang tidak rata sekaligus menyukarkan pemain negara untuk memanfaatkan peluang yang dimiliki ketika permainan.

Lok masuk sebagai pemain gantian dan beliau merembat masuk bola selepas keadaan tidak terkawal dalam kawasan penalti lawan pada separuh masa kedua sekaligus memberi kemenangan kepada Malaysia.

Saingan kelayakan akan berhenti seketika bagi memberi laluan kepada temasya Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari ini.

Malaysia akan berkunjung ke Oman pada 21 Mac sebelum menerima kunjungan pasukan itu di Stadium Nasional pada 26 Mac 2024.