Lebih 10 ribu penyokong dijangka membanjiri Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam esok bagi menyaksikan perlawanan Liga Super 2024/25 antara Selangor FC (SFC) menentang Kedah Darul Aman (KDA FC).

Menurut pengumuman di laman sosial rasmi SFC, semua tiket untuk perlawanan tersebut telah habis dijual hari ini dan bakal menyaksikan semua kerusi di stadium tersebut dipenuhi penyokong daripada kedua-dua pasukan.

Baca Juga:

Stadium MBPJ memiliki kapasiti sebanyak 10,661 tempat duduk dan ia baru sahaja selesai menjalani kerja naik taraf membabitkan pemasangan kerusi baharu, bumbung, dan sistem saliran.

Aksi menentang Kedah paling ditunggu-tunggukan oleh peminat Gergasi Merah selepas pasukan itu memilih tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim minggu lepas untuk aksi Piala Sumbangsih kerana faktor keselamatan.

Malah, pemain Selangor bakal turun dengan membawa semangat  memburu kemenangan untuk dihadiahkan kepada Faisal Halim yang kini berada di hospital selepas disimbah asid.

Bagaimanapun, Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain tekad memberikan saingan sengit selepas mencatat kemenangan ke atas PDRM 1-0 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Selayang minggu lepas.